Penstriman Rancangan Astro Menggunakan 2 Petabyte Sebulan Menerusi Amazon Cloudfront

Penstriman Rancangan Astro Menggunakan 2 Petabyte Sebulan Menerusi Amazon Cloudfront

Diterbitkan pada Apr 18, 2017 oleh .

Telah menjadi kebiasaan Amazon untuk mengadakan acara berkaitan dengan pembangun seawal suku kedua setiap tahun. Pada hari ini mereka telah mengadakan AWS Summit Kuala Lumpur dan berkongsi beberapa kemaskini menarik termasuklah dari syarikat yang menggunakan perkhidmatan mereka. Salah satunya adalah jenama media terkemuka tempatan iaitu Astro.

Baru sahaja bulan lepas Astro memberikan nafas baru untuk aplikasi mudah alih mereka iaitu Astro Go. Aplikasi ini sedikit berlainan dari yang dahulu, di mana pengguna yang tidak melanggan Astro masih boleh menonton rancangan yang disediakan mereka. Lebih banyak fungsi pintar akan hadir ke aplikasi tersebut pada masa akan datang.

Bagi tahun mendatang, Astro akan bekerjasama dengan pihak AWS dalam menetapkan arus gaya hidup digital pelanggan mereka. Sehingga kini, lebih 23,000 rancangan mereka telah disimpan menerusi salah satu komponen perkhidmatan AWS yang diketahui ramai iaitu S3 (Simple Storage Solutions). Malah, jumlah penggunaan data yang dihantar menggunakan Amazon CloudFront bagi tujuan penstriman ini menghampiri 2 Petabyte setiap bulan. Sebagai perbandingan, 2 Petabyte adalah bersamaan 2,000 TB, dan jumlah ini semestinya akan meningkat pada masa akan datang.

Astro turut menyatakan dengan transformasi digital yang dilakukan bersama AWS ini bakal memberikan lebih fungsi dan perkhidmatan untuk pengguna, hasil dari kajian, analisis, dan juga kecerdasan buatan. Mungkin perkhidmatan yang lebih interaktif, seperti contoh mengendalikan dekoder Astro menggunakan pembantu maya Alexa.


TIPS & ULASAN