Apple Merancang Menghasilkan Peranti Hanya Dari Bahan Dikitar Semula

Apple Merancang Menghasilkan Peranti Hanya Dari Bahan Dikitar Semula

Diterbitkan pada Apr 20, 2017 oleh .

Pemanasan global dan peningkatan paras air laut dunia ialah masalah yang telah berlarutan selama berdekad lamanya. Sekiranya anda hidup di dekad 80an, dunia dikejutkan dengan penemuan lubang pada lapisan ozon. Pelbagai inisiatif dilakukan bagi mengurangkan impak manusia kepada alam sekitar tetapi ini masih belum dilakukan secara menyeluruh. Apple cuba mengurangkan impak produk mereka kepada alam sekitar dengan merancang untuk menghasilkan peranti sepenuhnya dari bahan yang dikitar semula.

Perancangan mereka ini diumumkan di dalam laporan  tanggungjawab alam sekitar yang diterbitkan hari ini. Menerusi rantaian bekalan gelung-tertutup mereka tidak akan lagi bergantung kepada sumber yang perlu dilombong sehingga mengakibatkan kerosakan alam sekitar. Tahun lalu Apple ialah antara syarikat yang didapati menghasilkan bateri yang menggunakan sumber yang menggunakan buruh kanak-kanak.

Selain daripada itu Apple turut mahu mengurangkan lagi penggunaan tenaga pada peranti-peranti keluaran mereka. Antara angka yang dikongsi ialah secara purata peranti keluaran mereka berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 70% sejak 2008. iMac generasi terkini hanya menggunakan 3% tenaga di dalam mod tidur berbanding iMac generasi pertama. MacBook Pro 2016 mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 15% berbanding model sebelumnya. Untuk maklumat lebih terperinci tentang usaha Apple untuk menjadi lebih mesra alam sila ke pautan di bawah.


TIPS & ULASAN