Carian
Siri Animasi Hogie The Globehopper Bakal Ditayangkan Di Netflix & Discovery Kids
April 30, 2017 Ikhwan Nazri

Mungkin anda sudah biasa mendengar nama-nama animasi seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan terkini Didi & Friends yang merupakan buatan tempatan. Satu lagi animasi buatan tempatan adalah Hogie the Globehopper dari Lil Critter Workshop yang berkisar mengenai pengembaraan Hogie dan rakan-rakan ke seluruh dunia.

Siri animasi Hogie The Globehopper ini juga merupakan salah satu siri animasi yang diketengahkan sewaktu pengumuman YouTube for Kids pada tahun lalu. Dalam berkongsi mengenai siri animasi ini, pengarahnya iaitu Walid Omar menyatakan yang mana tarikan utama siri animasi ini adalah dalam memperkenalkan budaya yang terdapat di serata dunia.

Sepertimana namanya ‘Globehopper’, apabila Hogie melawat bandar-bandar utama yang lain, penonton animasi ini akan mengetahui sedikit sebanyak berkenaan budaya dan juga perayaan. Sebagai contoh sewaktu acara Tahun Baru Cina, Hogie akan melawat Shanghai, sementara sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hogie akan melawat negeri Kelantan. Dengan cara begini, kandungan animasi Hogie sesuai untuk mana-mana pasaran.

Walid turut berkongsi yang mana projek animasi Hogie The Globehopper ini menggunakan dana pembangunan dari MDEC MAC (khusus untuk pembangunan kandungan kreatif), MyCreative Ventures, dan juga dana pengkomersilan Cradle CIP 500. Kini, mereka didalam fasa untuk melesenkan tayangan siri animasi ini dan telah mendapat sokongan dari beberapa pihak termasuklah Netflix dan Discovery Kids bagi rantau Arab Tengah & Utara Afrika (MENA – Middle East North Africa).

Buat masa ini, tiada maklumat berkenaan tarikh mula siri animasi ini akan ditayangkan. Pihak Lil Critter Workshop turut menyatakan yang mereka juga sedang menyiapkan beberapa siri animasi lain. Dengan perkembangan terkini dari mereka, boleh dikatakan dunia pembangunan animasi tempatan mempunyai identitinya tersendiri dan sedang berkembang pesat menempa nama di persada antarabangsa.

Komen