Carian
Vaio Z Mercedes-Benz Dilancarkan Dengan Bunyi Deruman Enjin Apabila Dihidupkan
May 25, 2017 Effi Saharudin

Peranti edisi khas akan hadir dengan gimik tertentu. Seperti awal minggu ini sebuah peranti Vertu yang dijual pada harga hampir 2 Juta kerana mempunyai ukiran naga bertatahkan nilam. Vaio Z Mercedes-Benz ialah komputer riba Windows edisi khas yang unik dari biasa kerana menghasilkan bunyi deruman enjin apabila dihidupkan.

Selain audio boot-up yang unik, komputer riba ini turut mempunyai permukaan pad sesentuh yang dihiasi logo Mercedes-Benz. Dua versi dihasilkan dengan logo Mercedes 300SL atau kenderaan konsep Vision Tokyo pada permukaan panel penutup. Gambar latar belakang bertemakan dua kenderaan ini turut disertakan secara eksklusif.

Vaio Z Mercedes-Benz ini diperkasakan pemproses Intel Core i-7/i-5 dan storan 256 GB SSD. Terdapat juga sokongan lampu pada papan kekunci dan tulisan VAIO pada panel penutup. Hanya 100 Vaio Z Mercedes-Benz dihasilkan dengan harga jualan ¥ 250,000 (~RM 9576) sebuah.

Komen