Kembalinya Nokia ke pasaran Malaysia selepas menghilang selama beberapa tahun bermula hari ini dengan pelancaran Nokia 6, Nokia 5 dan Nokia 3. Nokia 6 ialah peranti dengan spesifikasi terbaik di antara tiga peranti Android yang dilancarkan hari ini. Persoalan yang paling banyak diterima selepas ia dilancarkan ialah adalah ia masih sebuah peranti yang mengekalkan identiti Nokia? Masihkah berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah pandang pertama kami untuk Nokia 6.
Spesifikasi
Nokia 6 | |
---|---|
Skrin | 5.5″ IPS LCD HD Penuh (403 PPI) |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 430 |
Cip Grafik | Adreno 505 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB) |
Kamera Utama | 16 Megapixel, f/2.0, PDAF |
Kamera Depan | 8 Megapixel, f/2.0 |
Bateri | 3000 mAh (QuickCharge 2.0) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
Jalur LTE | 1/3/5/7/8/20/28/38/40 |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 999 |
Nokia 6 bukanlah sebuah peranti yang akan mencatatkan markah tertinggi dalam ujian penanda aras. Ia hanyalah sebuah peranti kelas permulaan dengan rekaan yang adi-premium.
Skrin 5.5″ IPD LCD dengan resolusi HD penuh dipadankan dengan pemproses Snapdragon 430, memori sebesar 3 GB RAM dan storan 32 Gigabyte. Bagi yang memerlukan spesifikasi lebih tinggi terdapat versi Arte Black dengan memori 4 GB RAM dan storan 64 GB. Kedua-dua model ini menyokong storan tambahan melalui kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte. Kad MikroSD ini akan mengambil slot yang digunakan oleh SIM nano kedua.
Sebuah pengimbas cap jari terletak pada bahagian dagu yang juga merangkap sebagai butang home fizikal. Butang ni dihimpit dengan butang navigasi kapasitif multitasking pada sebelah kanan dan back pada sebelah kiri. Terdapat sokongan lampu pada kedua-dua butang ni bagi memudahkan kegunaan pada waktu malam.
Dari segi kamera pula ia dilengkapi kamera utama sebesar 15-Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF. Pada tetapan tertinggi kamera utama ini merakam gambar pada resolusi 1080P 30FPS sahaja. Kamera selfie ialah sebesar 8-Megapixel f/2.0 dengan sistem autofokus. Ini adalah agak jarang ditemui pada peranti pintar apakan lagi pada peranti kelas permulaan seperti Nokia 6. Seperti kamera utama, kamera hadapan juga hanya merakam video pada resolusi 1080P 30 FPS.
Sebuah bateri sebesar 3000 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 2.0 melalui port MikroUSB. Terdapat pembesar suara stereo dengan sokongan audio Dolby Atmos. Konfigurasi pembesar suara ialah satu di hadapan dan satu lagi di bahagian bawah peranti. Sungguhpun sebuah peranti kelas permulaan, masih terdapat sokongan untuk NFC pada peranti ini. Yang tidak disertakan hanyalah pemancar infra merah dan sistem pengecasan tanpa wayar.
Rekabentuk
Kekuatan Nokia 6 bukan terletak pada spesifikasi yang memukau tetapi sebaliknya terletak pada rekaannya. Ia adalah peranti kelas permulaan dengan kemasan yang paling premium pernah kami lihat. Keseluruhan tubuh peranti diperbuat daripada sebongkah aluminium yang diukur.
Sisi peranti adalah bersegi dan tidak mengikut trend semasa di mana sisi dibulatkan. Tetapi ini ialah rekaan bersegi ini adalah sinonim dengan rekaan Nokia dan dilihat pada peranti seperti Nokia Lumia Icon.
Ini membuatkannya sedikit kurang selesa dipegang kerana sisi yang agak tajam. Tetapi kerana ia diperbuat daripada aluminium, peranti adalah agak berat. Secara peribadi kami lebih menggemari peranti yang berat kerana terasa lebih sedap dipegang dan terasa amat premium.
Kemasan adalah amat rapi. Kaca hadapan Gorilla Glass 2.5D bercantum dengan cantik dengan kerangka aluminium. Jalur antena terletak pada bahagian bawah dan atas peranti. Pada model berwarna terang, garis antena kelihatan agak nyata. Kami menyarankan model berwarna gelap kepada mereka yang mungkin tidak menggemari jalur antena yang terlalu ketara.
Panel belakang adalah sedikit melengkung bagi membuatkannya lebih selesa dipegang. Pada waktu yang sama kemasan matte digunakan bagi mengelakkan panel belakang ini memerangkap kotoran dan cap jari dengan mudah.
Pada sebelah kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Sisi kiri pula terdapat talam untuk dwi-SIM bersaiz nano dan kad MikroSD. Seperti kami nyatakan beberapa perenggan sebelum ini, talam ini adalah dari jenis hibrid. Ia perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan dari kerangka. Bagi yang memerlukan bicu audio, ia terletak pada bahagian atas peranti.
Secara keseluruhan rekaan peranti ini adalah amat mengagumkan bagi sebuah peranti kelas permulaan. Ia adalah lebih baik dari sesetengah peranti utama dan pertengahan yang pernah kami lihat sebelum ini. Rekaan ini dipilih oleh Nokia kerana mereka menyedari jenama mereka adalah sinonim dengan ketahanannya. Bagi memastikan Nokia 6 tahan lasak, bongkah aluminium digunakan.
Antaramuka
Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Google Pixel. Nokia menggunakan Android Stock kerana tidak mahu pelancar rekaan sendiri mengakibatkan peranti mengalami sela masa. Pengoptimasian yang dilakukan menggunakan Android Stock membuatkan Nokia 6 masih berfungsi selancar mentega walaupun hanya diperkasakan oleh pemproses Snapdragon 430. Penggunaan Android Stock ini juga memudahkan proses kemaskini perisian yang akan disokong sehingga 24 bulan.
Pada waktu yang sama penggunaan stock ini juga menyebabkan tidak banyak fungsi tambahan disertakan. Dari apa yang kami lihat tiada fungsi tema atau sokongan pergerakan jari yang banyak. Berikut ialah beberapa fungsi yang disertakan.
Multi Window – Melancarkan dua aplikasi serentak dengan menekan butang multitasking selama beberapa saat.
App Shortcut – Apabila ikon aplikasi ditekan, beberapa pilihan diberikan. Sebagai contoh pada ikon aplikasi kamera terdapat pintasan untuk terus merakam gambar, video atau selfie terbina. Ini ialah fungsi standard pada peranti dengan Android 7.1.1.
Google Assistant – Pembantu maya dengan kecerdasan buatan. Dilancarkan dengan menekan butang home selama beberapa saat.
Motion – Peranti berhenti berdering apabila diterbalikkan atau diangkat dari permukaan meja.
Gesture – Melancarkan kamera dengan pantas apabila butang kuasa ditekan sebanyak dua kali.
Kesimpulan
Rekabentuk dan kemasan yang premium digabungkan dengan spesifikasi yang agak rendah. Pada peranti berjenama lain ini adalah resipi yang boleh membawa maut. Tetapi apabila Nokia melakukannya ia nampak seperti sebuah strategi yang baik. Sejak berdekad lamanya peranti mereka terkenal sebagai peranti yang tahan lasak dan berkualiti. Walaupun hanya menggunakan Nokia 6 semalam beberapa minit, kami cukup teruja dengan apa yang ditawarkan.
Peranti selesa dipegang di dalam telapak tangan walaupun sisi bersegi yang digunakan. Ia mungkin sedikit tajam tetapi selepas melakukan beberapa perubahan cara dipegang, ini bukanlah sebuah masalah yang besar. Ia sebuah peranti yang berat dan membuatkannya teras lebih premium. Kemasan matte yang digunakan memastikan ia tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Pengimbas cap jari dan NFC yang disertakan memastikan peranti mempunyai pelbagai fungsi yang dilihat sebelum ini pada peranti kelas pertengahan dan ke atas.
Satu aspek negatif yang boleh kami fikirkan ialah dari segi bateri. Skrin 5.5″ HD penuh dipadankan dengan bateri hanya sebesar 3000 mAh. Alangkah baik sekiranya bateri lebih besar boleh digunakan. Pada harga jualan RM 999, Nokia 6 ialah sebuah peranti yang dijual pada harga yang agak munasabah apabila spesifikasi, kualiti dan perisian Android Stock diambil kira. Nokia 6 mula dijual pada pertengahan bulan Jun ini di Malaysia. Nantikan ulasan penuhnya di Amanz kelak.