Cari @ Amanz

OnePlus 5 melabuhkan sauh di Malaysia pada 8 Julai yang lalu. Sekali lagi peranti pembunuh utama ini hadir bagi membuktikan pengguna tidak perlu rabak dompet untuk memiliki peranti utama yang dengan spesifikasi yang baik. Perubahan paling drastik dilakukan oleh OnePlus kali ini ialah menyertakan sokongan dwi-kamera. Persoalan di kepala ramai pembaca adakah ia masih lagi berbaloi dimiliki walaupun kelihatan seperti klon iPhone 7? Ini ialah pandangan pertama kami untuk OnePlus 5.

Spesifikasi

OnePlus 5
Skrin 5.5″ Optic AMOLED HD Penuh (401 PPI)
Pemproses Qualcomm Snapdragon 835
Cip Grafik Adreno 540
RAM 6/8 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/128 Gigabyte
Kamera Utama 16+20 Megapixel, f/1.7+f/2.6, EIS, PDAF
Kamera Depan 16 Megapixel, f/2.0, EIS
Bateri 3300 mAh (Dash Charge)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, Glonass
LTE band 1/2/3/4/5/7/8/12/17/18/19
/20/25/26/28/29/30/38/39/40/41/66
Sistem Android 7.1.1
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2388/2688

Di atas kertas OnePlus 5 ialah peranti yang mempunyai spesifikasi yang amat baik. Skrin 5.5″ Optik AMOLED dengan resolusi 1080P yang digunakan memaparkan imej dengan cukup baik. Oneplus tidak mengikut pengeluar lain dan masih belum menggunakan skrin QHD.

Secara ikhlasnya kami tidak merasakan ini adalah percaturan yang salah dari pihak mereka. Selepas menggunakan peranti QHD selama tiga tahun, perbezaan skrin FHD dan QHD adalah tidak ketara melainkan anda meletakkan mata 3 inci dari skrin. Skrin dengan resolusi lebih rendah ini juga secara teorinya memberikan penjimatan penggunaan bateri.

Pemproses Snapdragon 835 dengan cip Adreno 540 menjadi enjin utama peranti. Cip terbaik untuk peranti Android di pasaran ini mempunyai empat teras 2.45 GHz Kryo dan empat lagi teras 1.9 GHz Kryo. Ini memastikan aplikasi dengan kemampuan grafik yang tinggi dapat digunakan tanpa masalah. Terdapat dua pilihan memori diberikan iaitu 6 dan 8 Gigabyte. Ini dipadankan pula dengan pilihan storan 64 dan 128 Gigabyte. Seperti model-model terdahulu, tiada sokongan penambahan storan menggunakan kad MikroSD.

Kemampuan kamera utama pula ialah 12+20 Megapixel f/1.7+f/2.6. Satu sensor untuk mengambil gambar biasa manakala sebuah lagi sensor melakukan zoom nirhilang 2X. Ini dipadankan dengan kamera hadapan 16-Megapixel f/2.0 untuk selfie yang menawan. Kamera utama boleh merakam video pada resolusi maksimum 4K 30FPS dengan pilihan 1080P 60FPS.

Sebuah bateri sebesar 3300 mAh membekalkan kuasa kepada peranti dengan sokongan pengecasan  pantas Dash Charge melalui port pengecasan  USB-C. Ini ialah sedikit lebih kecil berbanding 3400 mAh yang digunakan pada OnePlus 3T.

Seperti majoriti peranti di pasaran Malaysia, OnePlus 5 menyokong dwi-SIM bersaiz nano. Selain daripada itu ia turut menyokong Bluetooth 5.0, pengimbas cap jari dan juga NFC.

Rekabentuk

Komen yang paling kerap didengari mengenai OnePlus 5 ialah rekaannya yang dikatakan menyerupai sebuah iPhone 7 Plus. Sekilas pandang memang harus diakui kebenarannya tetapi apabila diteliti terdapat beberapa perbezaan kecil.

Pertama sekali pengimbas cap jari pada dagu OnePlus 5 berbentuk bujur dan bukannya bulat seperti pada iPhone 7 Plus. Tiada sistem tindak balas haptik disertakan apabila pengimbas ini ditekan.

Pengimbas cap jari ini turut dihimpit oleh dua butang navigasi kapasitif berlampu. Peranti OnePlus unik di dunia peranti pintar kerana menyokong kedua-dua sistem navigasi kapasitif dan juga di atas skrin. Pengguna mempunyai pilihan `untuk bertukar-tukar sistem navigasi mengikut kehendak mereka. Posisi butang multi tasking dan back turut diubah menerusi skrin tetapan.

Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam. Berbeza dengan iPhone 7 Plus, sisi peranti tidak dibulatkan sepenuhnya dengan panel belakang yang melengkung. Ini bagi membuatkannya lebih selesa dipegang berbanding iPhone 7 Plus dengan panel belakang yang rata. Kemasan panel belakang yang pusam membuatkannya tidak mudah mengumpul kekotoran. Pada waktu yang sama ia mengurangkan keperluan untuk anda mengelap peranti sentiasa seumpama pada peranti dengan panel belakang berasaskan kaca.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang diperbuat daripada logam serta slot untuk talam SIM. Bergerak ke sisi kiri terdapat butang suara dari jenis rocker dan butang khas untuk mengawal notifikasi. Dengan butang ini pengguna boleh memilih untuk mendapat kesemua notifikasi, notifikasi terpilih atau mematikannya terus. Ini sebuah lagi fitur yang dipelopori serta unik OnePlus pada peranti Android.

Komen negatif kami ialah butang kawalan suara OnePlus 5 adalah longgar dan membuatkannya terasa seperti bukan sebuah peranti premium. OnePlus bukan satu-satunya pengeluar yang melakukan kesalahan ini. Kami turut menemui isu yang sama pada Sony Xperia Z5 Premium. Kemasan yang kurang premium ini pada kami tidak boleh diterima apabila ditemui pada sebuah peranti utama.

Seterusnya terdapat sebuah pembesar suara mono pada bahagian bawah yang menghimpit port pengecasan USB-C dan bicu audio 3.5 mm. Pengekalan bicu audio 3.5mm pastinya disambut baik bagi mereka yang masih belum bersedia untuk dunia tanpa wayar seperti yang ditemui pada HTC U11 dan iPhone 7 Plus.

Secara keseluruhan rekaan OnePlus 5 adalah baik walaupun mengambil inspirasi dari iPhone 7 Plus. Kami secara peribadi tidak berapa peduli dengan rekaan pelanduk dua serupa asalnya ia berfungsi dengan lancar.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar Oxygen OS 4.5 yang mempunyai rekaan antaramuka yang menghampiri Pixel Launcher. Sebagai peminat peranti yang kelihatan hampir stock tanpa sebarang penambahan melampau, Oxygen OS ialah antara pelancar kegemaran kami. Rekaannya bukan sahaja cantik tetapi amat lancar. Masalah sela masa ia sesuatu yang tidak akan menghantui pengguna OnePlus.

Tidak seperti Stock, Oxygen OS menambah pelbagai fungsi tambahan yang membuatkan memudahkan penggunaannya. Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan.

Fungsi Kawalan Jari 

  • Fungsi dwi tap untuk menghidupkan skrin.
  • Lakar huruf O untuk melancarkan kamera.
  • Lakar huruf V untuk melancarkan aplikasi lampu suluh.
  • Kawalan jari untuk memainkan muzik dan menukar lagu seterusnya.

Kustomasi Butang Fizikal Dan Di Atas Skrin – Ini ialah fungsi “membunuh” OxygenOS yang sepatutnya diambil oleh Google dan dijadikan fungsi standard pada kesemua peranti Android. Pengguna boleh memilih untuk menggunakan butang navigasi di atas skrin atau butang fizikal pada bahagian dagu. Susunan butang turut boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Dark Theme – Mahukan antaramuka bertema gelap yang kurang menggunakan bateri? Dark Theme mengubah kesemua elemen antaramuka ke warna hitam. Ia bukan sahaja mengurangkan penggunaan bateri tetapi menjadikannya kelihatan lebih seksi pada pendapat kami.

Shelf – Sekiranya anda benci dengan skrin hadapan yang dipenuhi terlalu banyak ikon aplikasi, Shelf akan menyelesaikan masalah ini. Lima aplikasi paling kerap anda gunakan anda terpapar di dalam Shelf secara automatik. Maklumat mengenai Individu yang paling kerap anda hubungi juga akan tertera di sini. Widget aplikasi juga boleh ditambah untuk memudahkan ia diperiksa dengan hanya satu tatalan. Kesemua widget yang dahulunya memenuhi skrin boleh disimpan terus ke dalam Shelf dan kelihatan lebih kemas.

Kesimpulan

Setelah menggunakan peranti selama lima hari kami belum lagi menemui sebarang masalah pada peranti. Malahan masalah jelly screen yang menjadi tular beberapa minggu yang lalu tidak dilihat pada peranti yang sedang diulas. Kombinasi spesifikasi yang baik serta perisian yang dioptimasikan membuatkannya menjadi antara peranti terpantas pernah kami ulas di Makmal Peranti Amanz. Model asas dengan 6 Gigabyte di tangan kami tiada masalah melancarkan pelbagai peranti secara serentak.

Peranti selesa digunakan walaupun hanya menggunakan sebelah tangan. Panel belakang yang pusam dan melengkung memastikan ia tidak mudah tergelincir dari genggaman. Mengenai rekaan yang menyerupai iPhone ini bergantung kepada individu. Kami secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan rekaan peranti asalkan ia berfungsi dengan baik. Ulasan lengkap OnePlus 5 akan hadir dalam masa beberapa minggu lagi. Apa yang boleh kami katakan setakat ini ialah dengan harga di bawah RM3000, OnePlus 5 masih layak menggunakan motto pembunuh peranti utama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd