Cari @ Amanz

Beberapa hari yang lepas, kita telah mendengar yang mana Touch n Go dalam persiapan untuk memperkenalkan dompet digital mereka menjelang 2018 kelak. Kini, laporan lanjut hadir daripada TheStar mengatakan Touch ‘n Go mungkin menggunakan teknologi daripada Alipay dalam menjayakan perkara berkenaan.

Untuk makluman, Touch ‘n Go adalah syarikat subsidiari milik CIMB, dimana CIMB memegang sebanyak 52% daripada syarikat berkenaan. Dan ketika pengumuman DFTZ tempoh hari, CIMB sedia mengumumkan kerjasama bersama pihak Alipay.

Alipay sendiri merupakan salah satu perkhidmatan pembayaran dan kewangan berasaskan mudah-alih daripada Ant Financial, anak syarikat Alibaba.

Touch N Go Watch

Bagaimanakah penawarannya kelak masih menjadi tanda tanya. Alipay buat masa ini digunakan meluas oleh rakyat China yang bercuti ke Malaysia, dimana sejumlah kedai telah mula menerimanya. Dengan integrasi sokongan Touch ‘n Go, ia akan mempopularkan lagi perkhidmatan berkenaan memandangkan jutaan rakyat Malaysia mempunyai kad Touch ‘n Go untuk kegunaan harian.

Selain pada Touch ‘n Go, Alipay juga telah diintegrasikan pada Lazada (melalui penjenamaan semula helloPay pada April lepas).

Mengikut laporan sebelum ini, Touch ‘n Go dikatakan telah memulakan ujian di TTDI, dan dijangka memperkenalkan ia kepada semua menjelang 2018 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd