Cari @ Amanz

Samsung hari ini telah melancarkan Galaxy Note 8 secara rasminya, dimana ia hadir dengan skrin Infinity Display, dwi-kamera belakang, dan menawarkan S-Pen untuk memudahkan anda mencatat dan melakar dengan mudah. Berkongsi lanjut mengenainya, kini Samsung Malaysia turut mengumumkan yang mana para pengguna boleh pra-tempah ia di Malaysia bermula 5 September kelak.

Samsung Galaxy Note 8

Samsung Galaxy Note 8 hadir dengan skrin 6.3-inci pada paparan Quad HD+, dilengkapi cip pemprosesan Exynos 8895 dengan rekaan 10nm, memori sehingga 6GB RAM, ruangan storan bermula 64GB, dan bateri berkapasiti 3300mAh.

Untuk rakaman gambar, ia dilengkapi dwi-kamera belakang 12-megapixel, dan kamera hadapan 8-megapixel. Ia turut menyertakan sokongan zoom optikal sehingga 2 kali melalui penggunaan kamera belakang.

Samsung akan membuka pra-tempahan bermula 5 September sehingga 10 September ini. Samsung mengatakan mereka akan menawarkan pakej pra-tempahan khusus untuk pengguna. Pihak Samsung Malaysia masih belum berkongsi mengenai harga jualan tempatannya buat masa ini, tetapi mengatakan peranti ini akan dipasarkan di Malaysia pada bulan September ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd