Cari @ Amanz

Lanjutan daripada isu mengenai permainan Fight of Gods, kini ia dilihat akses ke perkhidmatan kedai-atas talian permainan Steam telah dihalang akses di Malaysia. Bagi yang tidak mengenali akan Steam, ia merupakan perkhidmatan hab setempat untuk membeli permainan video yang disediakan oleh Valve, selain turut menghidupkan dunia komuniti peminat permainan video disebaliknya.

Steam Block MCMC

Daripada percubaan kami, ia dilihat hanya kedai atas-talian sahaja yang dihalang akses buat masa ini, sementara anda masih boleh memainkan permainan seperti sedia ada, dan memuat-turun permainan daripada Library anda. Namun, ia tidak membolehkan anda membeli sebarang permainan baru buat masa ini kerana halangan ke pautan halaman kedai atas-talian berkenaan (steampowered.com). Pengguna juga dilihat masih boleh mengakses bahagian komuniti Steam buat masa ini seperti biasa.

Langkah ini diambil oleh SKMM kerana permainan Fight of Gods, yang mana menimbulkan kontroversi kerana membenarkan watak Jesus bertumbuk dengan Buddha sekaligus menimbulkan kemarahan penganut agama Kristian dan Buddha. Semalam, SKMM dilaporkan akan meminta Steam membuang permainan berkenaan untuk muat-turun pengguna Malaysia. Namun, mungkin langkah ini diambil kerana tiada persetujuan yang dicapai.

Permintaan halangan permainan oleh kerajaan bukan sesuatu yang baru, dan sebelum ini, pelbagai permainan sedia dihalang akses khusus untuk sesuatu negara.

Kami telah menghubungi pihak SKMM berkaitan dengan hal ini, dan akan menawarkan kemaskini berkaitan dengan halangan ini sebaik sahaja menerima maklumbalas mengenainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd