Cari @ Amanz

Semalam akses kepada laman Steam telah dihalang di Malaysia berikutan kontroversi permainan Fight of Gods. Kerajaan Malaysia melalui SKMM bertindak tegas menghalang perkhidmatan muat turun permainan PC ini kerana Steam gagal menghalang akses permainan berunsur ketuhanan ini dalam masa 24 jam.

Sebentar tadi halangan ke atas Steam telah ditarik semula di Malaysia selepas Steam tidak lagi menawarkan permainan ini kepada penduduk tempatan. Halangan hanya bertahan sekitar 12 jam tetapi mendapat reaksi yang rata-ratanya negatif dari komuniti peminat permainan video tempatan.

Kerajaan memilih untuk menghalang akses ke perkhidmatan berkenaan disebabkan oleh salah satu permainan video yang ditawarkan padanya, iaitu Fight of Gods yang memperlihatkan permainan berlawan antara watak tuhan, dewa dan tokoh agama. Untuk makluman, selain Malaysia, terdapat pelbagai negara lain yang mengenakan halangan ke atas sesuatu permainan disebabkan sejumlah sebab berbeza.

Apa pun, kini Steam telah membuang penawaran permainan berkenaan untuk pengguna Malaysia, dan membuatkan kerajaan membuka kembali akses ke perkhidmatan berkenaan. Bagi anda yang menggunakan Steam, Selamat menggunakan perkhidmatan Steam kembali.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd