Cari @ Amanz

Seperti ramai sedia maklum, hari ini akses ke perkhidmatan Steam telah dihalang oleh SKMM kerana penawaran permainan Fight of Gods yang menimbulkan ketidakselesaan. SKMM telah meminta ia tidak ditawarkan di Malaysia, namun selang 24 jam ia tidak dibuang dan pihak SKMM mengambil langkah untuk menghalang akses ke kedai atas-talian Steam.

Fight of Gods

Lanjutan daripadanya, kini pihak Steam dilihat tidak lagi menawarkan permainan Fight of Gods untuk pasaran Malaysia. Perkara ini telah disemak oleh kami sendir pada kedai atas-talian Steam, selain mendapatkan kepastian kedua melalui SteamDB yang melabelkan ia tidak lagi ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Halangan untuk sesuatu permainan bukan sesuatu yang baru, dimana seperti kami nyatakan sebelum ini, terdapat sejumlah permainan yang dihalang akses oleh pelbagai negara disebabkan beberapa sebab tertentu. Mungkin selepas ini, kita akan dapat melihat komunikasi yang baik antara kedua-dua pihak dalam menghalang akses ke sesuatu permainan tanpa memberikan impak kepada pemain – apatah lagi pada penghujung minggu.

Walaubagaimanapun, untuk sementara waktu ini, kedai atas-talian Steam masih dihalang akses untuk pengguna tempatan. Sekiranya semua berjalan lancar, mungkin kita akan dapat melihat akses kembali seperti biasa dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd