5 Fungsi Baru Yang Ingin Kami Lihat Pada iPhone

5 Fungsi Baru Yang Ingin Kami Lihat Pada iPhone

Diterbitkan pada Sep 12, 2017 oleh .

September muncul lagi dan bagi peminat Apple ia adalah seperti Tahun Baru, Aidilfitri, Tahun Baru China, Hannukah, Krismas dan Deepavali disambut serentak. Ia adalah bulan peranti terkini iPhone akan diumumkan. Tahun ini ia lebih istimewa kerana adalah tahun ulang tahun sedekad sejak iPhone dilancarkan dan mengubah dunia peranti mudah alih.

Ada yang mengatakan iPhone adalah peranti sempurna. Kami tidak bersetuju dan merasakan masih terdapat beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki. Berikut ialah lima fungsi baru yang ingin kami lihat pada iPhone tahun ini.

1. Fungsi Pengecasan Pantas

Fungsi pengecasan pantas dan tanpa wayar ialah dua teknologi yang tidak disertakan pada iPhone 7 dan 7 Plus tahun lalu. Ini bagi kami secara peribadi ialah kekurangan paling nyata iPhone berbanding peranti utama Android di pasaran. Kemampuan mengecas sebuah peranti dalam masa kurang dua jam adalah keperluan sekarang. Menggunakan pengecas iPad sekalipun bateri iPhone 7 Plus hanya boleh dicas sepenuhnya dalam masa hampir tiga jam. Ini standard pengecasan yang boleh diterima lima tahun yang lalu tetapi tidak pada tahun 2017.

Pengecasan tanpa wayar juga sepatutnya disertakan. Seperti di dalam ulasan iPhone 7 Plus tahun lalu, kami merasakan ini fungsi yang perlu wujud pada peranti utama pada harga premium. Pengecasan tanpa wayar akan membolehkan peranti dicas ketika peranti basah. iPhone mengesan kelembapan dan tidak membenarkan pengecasan ketika peranti basah.

2. NFC Yang Lebih Meluas

Ini rungutan yang berulang tahun demi tahu. Apple tidak menyokong penghantaran fail menerusi NFC. Sistem NFC pada iPhone dihadkan kepada sistem pembayaran sahaja. Ia hanya boleh diaktifkan sekiranya pengguna melakukan jailbreak. Tahun lalu bicu audio dibuang dari iPhone oleh itu penggunaan fon kepala serta telinga tanpa wayar sudah menjadi keperluan kerana tidak banyak aksesori audio yang menggunakan kepala Lightning.

Apa yang kami sedari ialah pada Android kami boleh menambat fon telinga semudah sentuhan NFC. Pada iPhone, proses menambat memerlukan beberapa langkah tambahan yang tidak mesra pengguna. Sokongan NFC yang lebih meluas tidak disokong Apple dan sebaliknya mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada penggunaan cip W1 bagi mempercepatkan tambatan aksesori audio.

Cip W1 ini setakat ini hanya ditemui pada aksesori buatan mereka sendiri seperti AirPods dan Beats. Antara lima senarai fungsi baru yang ditulis ini, sokongan NFC secara lebih meluas ialah yang kami yakin TIDAK akan berlaku lagi tahun ini kerana mereka percaya cip W1 adalah jalan penyelesaian paling baik buat mereka.

3. Skrin OLED HDR

Penggunaan skrin OLED pada iPhone X bukan lagi misteri. Ia telah tertiris sejak awal tahun. Apple turut dilaporkan akan berpindah sepenuhnya kepada skrin OLED bermula tahun hadapan. Apa yang misteri bagi kami ialah sama ada ia akan menyokong paparan HDR. Skrin OLED telah wujud hampir 30 tahun tetapi hanya sejak suku dekad teknologi menjadi matang dan dapat dihasilkan pada harga munasabah.

Skrin AMOLED telah digunakan sejak 2008 pada Nokia N85. Ini bukalah teknologi baru. LG V30, V6, Sony Xperia XZ Premium, Xperia XZ1, Samsung Galaxy S8, Galaxy S8+ dan Note 8 kesemuanya sudah melakukan terjunan awal ke dalam dunia HDR. Apple perlu turut terjun bersama bagi mengelakkan mereka dari terus ketinggalan di dalam penggunaan skrin berteknologi terkini.

4. Sokongan Audio Berkualiti Lebih Tinggi

“An iPod, a Phone, and an Internet Communicator”. Ini ialah ayat yang keluar dari mulut mendiang Steve Jobs ketika melancarkan iPhone sepuluh tahun yang lalu. Sedekad sudah berlalu dan iPhone masih lagi melakukan ketiga-tiga tugas ini dengan baik tetapi masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Sejak akhir-akhir ini kualiti audio yang boleh dimainkan pada peranti pintar sudah meningkat dengan kemampuan audio berdefinasi tinggi. Tetapi dari segi audio, Apple kini di belakang LG dan ZET kerana iPhone tidak dilengkapi quad-DAC seperti dua peranti ini.

LG V30 yang baru dilancarkan dipuji kerana kemampuan audio yang jaun lebih baik berbanding peranti pesaing tahun ini. Sebagai peminat audio berkualiti tinggi, kami mahu iPhone tahun ini mampu menghasilkan audio yang terbaik di dalam kelasnya. Apple mempunyai rekod yang baik dalam menghasilkan pemain muzik digital paling popular (iPod) dan merevolusikan cara muzik dijual (iTunes). Oleh itu bagi mengukuhkan legasi mereka, sokongan audio pada tetapan tertinggi perlu berlaku tahun ini bagi mengelakkan mereka terus ditinggalkan pesaing.

5. Penggunaan Skrin Besar Dengan Lebih Optimum

Ura-ura mengatakan skrin iPhone X akan dilengkapi skrin 5.8″. Ini ialah skrin yang terbesar yang pernah digunakan pada telefon pinta keluaran Apple. Tetapi Apple masih berkeras untuk tidak mengoptimasikan penggunaan skrin yang lebih besar. Fungsi multi window masih hanya ditemui pada iPad.

Sebagai pengguna Android dengan skrin hanya sebesar 5.5″, fungsi multi window yang menjadi standard sejak Android Nougat amat kerap kami gunakan. Kami boleh menonton YouTube sambil melihat susur masa Twitter. Pada iterasi Galaxy Note dahulu. gambar dari galeri boleh di drag and drop terus ke dalam emel yang dikarang. Ini satu lagi fungsi yang disokong iPad pada iOS11. Sekiranya ia mampu dilakukan pada iPad Pro (dengan cip A10X Fusion) apakah alasan ia tidak disokong pada model terbaru iPhone (dengan cip A11 yang lebih berkuasa).


Ini adalah lima perkara yang amat kami inginkan pada iPhone 8 dan iPhone X. Sekiranya ia diumumkan hari ini, esok juga kami akan berpindah ke platform iOS kerana pada waktu ini ia hanya ditawarkan pada sistem operasi Android. Bagaimana pula dengan anda? Apakah senarai fungsi yang paling anda inginkan pada iPhone? Kongsikan pendapat anda di bawah.


TIPS & ULASAN