Cari @ Amanz

Pembantu maya Bixby diperkenalkan kepada umum menerusi peranti Samsung Galaxy S8 pada April yang lalu. Ia adalah jawapan Samsung kepada Siri, Google Assistant, Cortana dan Alexa. Berbeza dengan peranti pintar yang lain, Samsung meletakkan butang khas Bixby pada peranti utama mereka bagi membolehkan pembantu maya ini diakses sepanjang masa.

Sungguhpun begitu setakat ini Bixby mengecewakan kerana tidak sepantas pesaing. Malahan butang Bixby kini boleh dinyahaktifkan oleh pengguna yang tidak mahu menggunakannya. Pada acara  Samsung Developer Conference yang sedang berlangsung hari ini, Bixby 2.0 telah diumumkan.

Bixby 2.0 akan cuba memperbaiki kesemua kelemahan versi 1.0. Ia akan menjadi alat kawalan utama untuk peranti pintar dan berhubung keluaran Samsung. Alat elektronik seperti TV, mesin basuh, robot pembersih hampa gas dan peti sejuk  keluaran mereka akan dapat dikawal menggunakan Bixby 2.0. Kesemuanya bertulang belakangkan platform peranti berhubung SmartThings Cloud juga keluaran mereka. Ia adalah sebuah platform terbuka dan Samsung melancarkan program beta tertutup bagi mereka yang berminat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd