Carian
Pandang Pertama Oppo F5 – Peranti Nirbingkai Dengan Kamera Bekecerdasan Buatan
November 2, 2017 Effi Saharudin

Peranti nirbingkai ialah trend semasa selepas ia diperkenalkan oleh Sharp dan dipopularkan oleh oleh Xiaomi. Tahun ini rekaan yang dahulunya dianggap mustahil kini mula digunakan oleh Samsung, Huawei, Vivo dan Apple. Oppo turut tidak mahu ketinggalan dan melancarkan Oppo F5 mereka di Malaysia hari ini. Dari segi rekaan ia berkongsi DNA dengan Vivo V7+ yang dilancarkan September lalu. Berbeza dengan Vivo V7+, spesifikasi F5 adalah lebih tinggi. Persoalannya adakah ia turut lebih baik?

Spesifikasi

Oppo F5
Skrin 6″ TFT FHD+ (402 PPI)
Pemproses MediaTek Helio P23
CPU 8 x 2.3 GHz Cortex A53
Cip Grafik Mali G71 MP2
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.8, PDAF
Kamera Depan 20 Megapixel f/2.0
Bateri 3200 mAh (Pengecasan 10W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Nano)
Jalur LTE 1/2/3/5/7/8/20/28/38/39/40/41
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Harga Jualan RM 1298

Skrin 6″ LPTS TFT nirbingkai mempunyai nisbah 18:9. Ini bermakna skrin adalah lebih memanjang untuk paparan lebih sinematik. Skrin ini tidak menyokong paparan HDR dan agak kelam sungguhpun pada tetapan paling tinggi.

Skrin ini dipadankan pula dengan pemproses kelas pertengahan atas MediaTek Helio P23. Kelapan-lapan teras pemproses ini menggunakan cip Cortex A53 dengan GPU Mali G71 MP2. Terdapat pilihan memori sebesar 4GB dengan storan 32GB. Bagi yang inginkan storan lebih besar, Oppo F5 menyokong kad mikroSD sehingga 256GB. Talam untuk dwi-SIM nano dan kad mikroSD adalah berasingan. Helio P23 ialah pemproses yang mampu menyokong dua SIM 4G secara serentak ini ini pastinya menggembirakan pengguna yang mempunyai lebih daripada satu SIM selular.

Kamera utama pada bahagian belakang adalah sebesar 16-Megapixel f/1.8 dengan kemampuan merakam pada tetapan tertinggi 1080P 30FPS. Kamera hadapan pula sebesar 2o-Megapixel f/2.0. Tiada sokongan flash terbina pada bahagian hadapan tetapi Oppo menyertakan sistem flash dari skrin bagi mereka yang memerlukan pencahayaan di dalam situasi kelam. Kamera hadapan ini menggunakan A.I Beauty Recognition untuk memastikan kualiti swafoto terbaik mengikut wajah pengguna.

Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 3200 mAh yang tidak boleh ditanggalkan. Port pengecasan mikroUSB juga digunakan kerana nampaknya Oppo masih belum bersedia menggunakan format USB-C. Seperkara lagi yang mengecewakan ialah peranti ini hanya menyokong pengecasan pada tetapan 10W (5V/2A) yang setanding QuickCharge 1.0.

Ini bermakna pengecasan adalah perlahan mengikut standard peranti 2017 yang kini sekurang-kurangnya menyokong pengecasan 24W. Mengapa Oppo tidak menyokong sekurang-kurangnya pengecasan PumpExpress 2 tidak diketahui sedangkan Helio P23 menyokongnya

Turut tidak disertakan ialah sistem NFC atau infra merah. Tetapi jangan risau kerana sistem imbasan cap jari dan bicu audio disertakan. Pengimbas cap jari berbentuk bujur terletak pada bahagian belakang dan bicu audio pada bahagian bawah peranti.

Rekabentuk

Rekaan peranti ini pasti mengingatkan anda kepada sebuah Vivo V7+. Ini adalah kerana Oppo dan Vivo bersaudara dengan OnePlus di bawah payung BBK Electonics. Malahan rekaan ini akan turut dikitar semula pada Oppo R11s dan OnePlus 5T kelak.

Keempat-empat sisi peranti dibulatkan bagi membuatkannya selesa di dalam genggaman. Seperti pada Vivo V7+, skrin yang besar sedikit terkeluar dari kerangka logam peranti. Ini mengakibatkan sedikit ketidakselesaan apabila jari bergerak dari permukaan skrin ke sisi. Pergerakan jari tidak lancar kerana kewujudan bonggolan ini. Adalah lebih baik sekiranya skrin 2.5D yang digunakan bercantum dengan lebih kemas ke tubuh peranti seperti yang ditemui pada Oppo R9s sebelum ini.

Bercakap mengenai skrin, keterangannya kurang memuaskan walaupun pada tetapan paling tinggi. Paparan warna juga kurang bermaya jika diletakkan bersebelahan Oppo R9s yang dilengkapi skrin AMOLED.

Ketiga-tiga butang navigasi terpapar pada skrin. Tiada lagi penggunaan skrin navigasi fizikal. Ini bermakna susunan butang home, back dan multi-tugas kini boleh diubah mengikut citarasa pemilik. Pilihan tiada butang langsung seperti iPhone X juga diberikan. Ini kami terangkan dengan lebih lanjut pada bahagian antaramuka di bawah.

Panel belakang yang diperbuat daripada logam dengan kemasan yang pusam yang tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Bagi mereka yang mahukan peranti yang tidak mudah kotor, Oppo F5 pasti akan memasuki senarai pendek peranti yang mungkin perlu dimiliki. Terdapat bonjolan kamera pada bahagian bawah.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan talam SIM. Talam SIM ini perlu dicucuk dengan jarum sebelum boleh dikeluarkan. Ia mempunyai tiga slot untuk dua SIM nano dan satu kad mikroSD. Terima kasih kepada Oppo kerana menyertakan sebuah talam SIM bukan hibrid kerana terdapat ramai pengguna yang memerlukan peranti dengan dwi-SIM serentak dan memori tambahan.

Pada sisi bertentangan terdapat dua butang kawalan suara. Kesemua butang kawalan dan kuasa yang kami sebutkan tadi mempunyai binaan yang kukuh. Sebuah bicu audio 3.5mm, port pengecasan mikroUSB dan pembesar suara mono terletak pada bahagian bawah peranti.

Secara keseluruhan rekaan peranti adalah menarik dan kemas. Peranti selesa dipegang tetapi skrin yang terkeluar dari kerangka membuatkan pergerakan jari sedikit terhalang kerana bonjolan yang wujud.

Antaramuka

Android 7.1.1 digunakan dengan pelancar ColorOS 3.2. Walaupun kita telah hampir ke penghujung 2017, Oppo masih lagi menggunakan sistem operasi tahun lalu. Ini sebenarnya bukan masalah besar kerana ColorOS tahun demi tahun berfungsi dengan lancar dan optimasi dengan baik.

Tetapi tahun ini mereka melakukan perubahan drastik pada ColorOS. Ia kini lebih menghampiri antaramuka iOS atau dengan lebih tepat lagi FunTouch OS Vivo.

Apabila menatal dari atas ke bawah skrin, talam notifikasi akan dipaparkan. Menatal dari bawah ke atas skrin pula akan melancarkan fungsi seakan Control Center iOS. Dari sini pengguna boleh mengakses fungsi WiFi, lampu suluh, keterangan skrin, GPS dan sebagainya yang sebelum ini diletakkan pada bahagian atas skrin. Bagi pengguna ColorOS, perubahan yang agak mendadak ini mungkin akan menyebabkan mereka perlu membiasakan diri dengan rekaan antaramuka yang berbeza dari versi sebelumnya.

Secara peribadi kami kurang menyukai antaramuka ini kerana terlalu banyak persamaan dengan iOS. Kebanyakan pengeluar Android sejak tahun lalu sudah mula memilih antaramuka Android Asli maka keputusan Oppo di sini adalah jelas berbeza dari pesaing-pesaing mereka.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang boleh ditemui pada ColorOS 3.2.

Face Unlock – Menyahkunci peranti dengan imbasan wajah.

Kids Space – Fungsi untuk kanak-kanak. Aplikasi boleh dihalang akses atau dihadkan waktu penggunaan. Mereka juga dihalang dari memuat turun sebarang aplikasi baru sekaligus mengelakkan pembelian aplikasi tanpa disedari.

App Lock – Menghalang akses sebahagian aplikasi seperti galeri dari dibuka selain oleh pemilik menggunakan imbasan jari.

Butang Navigasi – Susunan tiga butang navigasi boleh diubah.

Butang Navigasi Menggunakan Gesture – Sistem navigasi kini seperti yang ditemui di iPhone X. Tiada butang navigasi atas skrin diberikan sebaliknya peranti dikawal dengan gesture sepenuhnya. Tatal dari bucu kanan ke atas dan aplikasi terdahulu akan dibuka. Talam dari bucu yang sama kemudian menghentikan jari selama sesaat akan memaparkan skrin multi-tugas. Oppo F5 ialah “iPhone X” pertama di pasaran Malaysia.

Clone Apps – Memasang lebih dari satu app dan menggunakan dua akaun berbeza di dalam sebuah peranti.

Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan menekan butang kuasa dan meningkatkan suara secara serentak.

Game Acceleration – Meningkatkan pemproses ketika permua digunakan. Paparan notifikasi juga boleh dihalang bagi mengelakkan sebarang gangguan. Butang navigasi juga boleh dinyahaktifkan ketika permua digunakan.

Screen Off Gesture – Dwi-tap untuk menghidupkan skrin, melakar huruf O untuk melancarkan kamera atau huruf V untuk melancarkan lampu suluh. Ini ialah fungsi klasik peranti Oppo sejak dari dahulu lagi.

Kesimpulan

Tidak melampau untuk mengatakan Oppo F5 ialah sebuah Vivo V7+ dengan spesifikasi yang lebih tinggi. Juga tidak melampau mengatakan F5 ialah peranti Android dengan antaramuka paling iOS pernah dihasilkan oleh Oppo. Pengenalan sistem seakan Control Center apabila menatal dari bawah skrin melengkapkan ilusi F5 sebagai sebuah iPhone X lengkap dengan sokongan kawalan gesture tetapi tanpa takut di bahagian atas skrin.

Dari penggunaan selama beberapa hari kami boleh katakan peranti ini berfungsi dengan lancar walaupun hanya dilengkapi pemproses kelas pertengahan MediaTek Helio P23 dan memori sebesar 4GB. Ini tidak mengejutkan kerana dari pengalaman peribadi ColorOS dioptimasikan dengan baik oleh Oppo. Persoalannya sekarang adakah anda boleh menerima peranti yang masih menggunakan Android Nougat sedangkan peranti dengan Oreo sudah muncul di pasaran lebih sebulan?

Tambahan lagi ialah adakah anda boleh menerima perubahan yang mendadak pada antaramuka ColorOS? Kami memang memiliki sebuah iPhone 8 dan transisi menggunakan ColorOS dari iOS 11 adalah cukup mudah. Bagi pengguna Android biasa kami yakin pada awal penggunaan ia mungkin akan menjadi sedikit canggung.

Peranti amat selesa di dalam genggaman tetapi bonjolan di antara tubuh dan skrin membuatkan pergerakan jari dari skrin ke sisi peranti sedikit janggal. Ini ialah komen yang sama kami berikan ketika menggunakan Vivo V7+. Seperti V7+, tiada sokongan pengecasan pantas disertakan.

Memang pandang pertama ini mempunyai tona sedikit negatif tetapi mungkin kerana kami sudah terbiasa dengan peranti utama, Bagi peminat Oppo kami merasakan isu yang kami terangkan mungkin boleh dianggap kecil. Ya mereka tidak menggunakan Android Asli tetapi Oppo menyertakan banyak fungsi tambahan seperti Kid’s Space, Game Acceleration, Clone Apps dan Screen Off Gesture yang amat berguna.

Oppo F5 dijual di Malaysia pada harga RM 1298 dan pra-tempahan telah dibuka menerusi laman rasi mereka.

Komen