HTC U11 Life Turut Dilancarkan – Peranti Android One Oreo Pertama Dengan Edge Sense
HTC

HTC U11 Life Turut Dilancarkan – Peranti Android One Oreo Pertama Dengan Edge Sense

Diterbitkan pada November 2, 2017 oleh .

HTC U11+ dilancarkan hari ini dengan skrin spesifikasi premium dan fungsi Edge Sense. Bagi mereka yang merasakan peranti ini terlalu mahal, HTC U11 Life turut dilancarkan dengan fungsi Edge Sense terbina.

HTC U11 Life dilengkapi skrin 5.2″ Super LCD HD penuh, dijana pemproses Snapdragon 630, memori sebesar 3/4GB dan storan 32/64 GB. Kamera utama adalah sebesar 16-Megapixel f/2.0 dan dipadankan dengan kamera hadapan 16-Megapixel f/2.0.

Bateri sebesar 2600 mAh digunakan dengan sokongan pengecasan 10W melalui port USB-C. Sedikit aneh peranti yang mempunyai USB-C ini hanya menyokong format pengecasan QuickCharge 1.0. Turut aneh ialah tiada bicu audio disertakan dan output audio adalah melalui port USB-C yang sama. Sepasang fon telinga U-Sonic disertakan dengan pembelian.

HTC U11 Life adalah peranti pertama di dunia yang menggunakan Android One versi Oreo dengan pelancar Android Asli. Sistem Edge Sense disertakan sekali lagi kali ini dengan pelancar Edge Launcher. Apabila bingkai digenggam, terdapat pintasan pantas untuk pelbagai aplikasi muncul pada skrin. Genggaman lebih kuat boleh diprogramkan untuk melancarkan kamera atau pembantu maya seperti Google Assistant.

Perbezaan paling ketara di antara U11 Life dan U11 selain spesifikasi ialah dari segi binaan. Panel berkaca U11 digantikan dengan bahan plastik pada U11 Life. Sekilas pandang tiada perubahan fizikal dilakukan. Malahan sistem pengimbas cap jari juga masih di bahagian dagu.

Seperkara lagi U11 Life turut mempunyai kemampuan kalis air IP67. Di Amerika Syarikat ia dijual pada harga $349 (~RM 1479) sebuah. Tiada maklumat buat masa ini sama ada ia akan memasuki pasaran Malaysia.


TIPS & ULASAN