Ulasan : Acer Predator Helios 300 – Laptop Gaming Untuk Permainan Komputer 1080p

Ulasan : Acer Predator Helios 300 – Laptop Gaming Untuk Permainan Komputer 1080p

Diterbitkan pada Dis 19, 2017 oleh .

Laptop yang dibina khusus untuk gaming dengan spesifikasi berkuasa nampaknya semakin banyak hadir di pasaran, dan dengan kemajuan teknologi perkomputeran, laptop-laptop ini hadir dengan prestasi yang semakin hampir dengan komputer desktop.

Salah sebuah laptop gaming ini ialah Acer Predator Helios 300, yang diperkenalkan buat kali pertama di acara Acer GPC di New York. Ia hadir sebagai sebuah laptop gaming kelas pertengahan yang mampu memainkan kebanyakan permainan komputer dengan tetapan sederhana pada resolusi 1080P tanpa sebarang masalah.

Spesifikasi Dan Rekaan

Acer Predator Helios 300
Skrin 15.6″ IPS LCD HD Penuh
Pemproses 2.8 GHZ Intel Core i7-7700HQ
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 (6 GB GDDR5)
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 128 Gigabyte PCIe NVMe SSD, 1TB HDD
Kamera 1080P
USB 3x USB-A 3.0, 1x USB 3.1 Type-C
HDMI Hadir
Pembaca Kad SD
Bateri 51 Wh
Harga Jualan RM 5999

Laptop Acer Predator Helios 300 ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-7700HQ, memori DDR4 sebanyak 8GB dan gabungan storan SSD sebanyak 256GB dan juga storan cakera keras bersaiz 1TB.

Laptop Helios 300 hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci IPS LCD dengan resolusi Full HD 1920×1080 pixel. Paparan ini juga mempunyai kadar segar semula 60Hz yang cukup elok untuk bermain permainan komputer dengan selesa.

Dari segi I/O pula, ia mempunyai dua port USB 2.0, sebuah port USB 3.0 Type-A dan sebuah port USB 3.0 Type-C. Selain dari itu, ia juga mempunyai sebuah port HDMI yang boleh digunakan untuk menyokong paparan luaran, dan juga sebuah pembaca kad SD untuk memudahkan pemindahan data daripada kad SD ke laptop.

Sebuah laptop gaming tidak boleh diberi panggilan tersebut jika ia tidak mempunyai kad grafik khusus. Untuk laptop Helios 300 ini, ia hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan pelbagai permainan komputer moden pada resolusi 1080p dengan kadar 60FPS.

Dari segi rekaan pula, laptop Acer Predator Helios 300 ini hadir dengan gabungan besi dan juga plastik untuk rangkanya. Cangkerang di belakang paparan diperbuat daripada aluminium, manakala bahagian dalamnya pula diperbuat daripada plastik.

Rekaan ini boleh dikatakan agresif, tetapi juga tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan laptop-laptop yang lain dari MSI, ASUS dan juga Dell. Bagi kami ini sesuatu yang cukup bagus kerana kami senantiasa mahukan sebuah laptop yang berkuasa, tetapi tidak terlalu menonjol mata.

Dari segi berat, laptop Helios 300 ini mempunyai berat 2.7 KG, dan pada kami, ini tidaklah terlalu berat apabila dibawa di dalam beg untuk bergerak kemana-mana. Ia juga mempunyai bateri 4-sel dengan kapasiti 3220 mAH yang dikatakan mampu bertahan selama 9 jam.

Ciri-Ciri

Laptop Helios 300 ini tidak hadir dengan begitu banyak ciri-ciri yang khusus, kecuali papan kekunci yang mempunyai sistem pencahayaan LED berwarna merah, dan juga perisian Acer PredatorSense.

Perisian ini membolehkan anda mengubahsuai beberapa ciri, seperti tahap pencahayaan lampu LED pada papan kekunci dan juga melihat tahap suhu CPU dan kad grafik laptop ini.

Anda juga boleh mengubahsuai beberapa tetapan seperti makro papan kekunci melalui aplikasi PredatorSense ini untuk mempercepatkan dan mempermudahkan lagi penggunaan laptop ini.

Bukan itu sahaja, perisian tersebut juga boleh digunakan untuk mengubahsuai kelajuan kipas penyejuk laptop Helios 300 ini, untuk memastikan bahawa anda boleh mendapat nisbah prestasi/penyejukan yang terbaik.

Gabungan SSD bersaiz 256GB dan cakera keras 1TB membolehkan laptop ini hadir dengan masa boot up yang cukup pantas sekali, dan pada masa yang sama, jumlah storan yang cukup besar untuk anda memasang permainan komputer yang kini besar saiz failnya saban tahun.

Papan kekunci laptop Helios 300 ini juga hadir dengan sistem pencahayaan berwarna merah yang boleh dipasang dan ditutup dengan menggunakan pintasan papan kekunci dengan mudah. Sayangnya, bagi anda yang inginkan sistem pencahayaan RGB, laptop ini tidak menyokongnya.

Jika anda ingin menaiktarafkan laptop ini, anda boleh melakukannya melalui panel di bahagian bawah. Di antara komponen-komponen yang boleh dinaiktaraf termasuklah memori DDR4, storan cakera keras dan juga SSD.

Malahan, sebagai sebuah laptop gaming, beberapa komponen dalaman seperti SSD, cakera keras dan juga memori boleh ditukar oleh diri sendiri dengan membuka panel di bahagian bawah laptop ini dengan menggunakan pemutar skru. Ini cukup penting untuk mereka yang inginkan storan yang lebih besar di masa hadapan kelak.

Pengalaman Pengguna

Kami berpeluang menggunakan laptop Acer Predator Helios 300 ini untuk beberapa minggu, dan kami berpendapat bahawa laptop ini cukup bagus untuk kegunaan seharian, dan juga untuk tujuan gaming semata-mata.

Dari segi prestasi, laptop Acer Predator Helios 300 ini cukup bagus sekali untuk pelbagai tugas perkomputeran. Tidak kira jika anda menggunakannya hanya untuk tugasan harian ataupun untuk bermain permainan komputer.

Penggunaan SSD membolehkan masa permulaan laptop ini cukup cepat sekali, manakala penggunaan cakera keras 1TB pula membolehkan pengguna memuatkan fail-fail digital anda.

Papan kekunci membrane Helios 300 ini juga cukup selesa untuk digunakan untuk satu jangka masa yang lama, dan juga dilengkapi dengan lampu LED berwarna merah yang boleh dipasang dan ditutup melalui perisian Predator Sense.

Sewaktu menggunakan laptop ini untuk bermain permainan komputer seperti PUBG dan Overwatch, kami mendapati laptop ini cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan tersebut dengan lancar.

Akan tetapi, apabila kami bermain permainan komputer ini untuk satu atau dua jam, bahagian papan kekunci laptop ini akan menjadi sangat panas sehinggakan kami perlu tutup permainan tersebut untuk beberapa ketika sebelum kami boleh sambung bermain permainan komputer tersebut.

Bukan itu sahaja, kipas Aeroblade 3D yang menyejukkan CPU dan GPU laptop ini juga akan berputar dengan pantas untuk menyejukkan komponen-komponen di dalam laptop ini, dan ini mengakibatkan kipas tersebut berbunyi cukup bising.

Berita baik di sini ialah prestasi CPU dan GPU laptop ini tidak dikompromi kerana masalah haba tersebut. Pada permainan-permainan yang kami uji pada laptop ini, kami masih mendapat kadar bingkai 50-60 FPS pada resolusi Full HD tanpa masalah walaupun permainan berjalan selama beberapa jam.

Kami mengesyorkan bahawa anda gunakan papan kekunci yang berasingan untuk sesi gaming anda supaya anda boleh mendapat pengalaman bermain permainan komputer yang lebih selesa. Ini cukup sayang sekali, kerana bagi kami, papan kekunci laptop Helios 300 ini cukup selesa sekali untuk tugas-tugas menaip, dan juga untuk bermain permainan komputer.

Kualiti paparan skrin laptop Helios 300 bagi kami biasa sahaja. Ia cukup bagus untuk digunakan sebagai paparan utama, tetapi tidak menjanjikan sebarang ciri yang menakjubkan seperti sokongan sRGB 100 peratus, ataupun kebolehan untuk mengekalkan kontras dan kecerahan yang sama pada sudut pandangan yang berbeza.

Dari segi jangka hayat bateri pula, kami mendapati bahawa laptop Helios 300 ini boleh bertahan selama tiga jam sehingga tiga jam setengah dengan satu pengecasan penuh. ini hanyalah jika anda melakukan aktiviti seharian seperti bekerja, melayari laman web dan menonton video. Jika anda bermain permainan video dengan laptop ini, jangka hayat tersebut akan berkurangan ke satu hingga satu jam setengah.

Penutup

Pada harga RM5999, laptop Acer Predator Helios 300 ini mempunyai nilai yang cukup bagus sekali untuk sebuah laptop yang dibina khusus untuk permainan komputer.

Gabungan cip pemprosesan Intel Core i7 generasi ketujuh Kaby Lake dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 ini cukup berbaloi sekali untuk anda yang inginkan sebuah laptop yang boleh bermain permainan komputer terbaru pada resolusi 720p ke 1080p tanpa sebarang masalah.

Pada harga tersebut, anda juga mendapat sebuah laptop yang dilengkapi sebuah SSD yang mempercepatkan lagi masa boot-up laptop anda, dan juga perisian-perisian yang dipasang di dalamnya, dan juga sebuah cakera keras yang boleh menampung fail-fail permainan komputer yang semakin besar setiap tahun.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan yang tidak begitu agresif, tetapi cukup teguh untuk menerima deraan gamer yang akan bermain permainan komputer berjam-jam.
  • Spesifikasi yang cukup berkuasa, khususnya untuk permainan komputer pada resolusi 1080P.
  • Komponen dalaman boleh ditambah baik.
  • Harga mampu-milik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Bahagian papan kekunci boleh menjadi panas apabila bermain permainan untuk masa yang lama
  • Paparan skrin berkualiti biasa sahaja
  • Tiada sistem pencahayaan papan kekunci RGB


TIPS & ULASAN