Cari @ Amanz

OnePlus 5T akan dilancarkan secara rasmi pada 16 November dengan rekaan skrin nirbingkai. Misteri mengenai rekaan sebenar dan spesifikasi penuh peranti ini telah terjawab pagi ini selepas ia didedahkan laman ZD Net. Mereka telah menerima sebuah OnePlus 5T lebih awal untuk tujuan ulasan.

Ia dilengkapi skrin 6″ AMOLED FHD+ dengan nisbah skrin 18:9, dijana pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 6/8 GB RAM dan storan 64/128 GB. Kamera utama ialah gabungan 16+20 Megapixel masing-masing dengan lensa f/1.7. Sensor yang digunakan ialah IMX 398 + IMX 376K keluaran Sony. Kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel f/2.0 dengan sensor IMX 371. Kamera utama boleh merakam video pada resolusi maksimum 4K 30FPS.

Bateri sebesar 3300 mAh yang disertakan menyokong pengecasan Dash Charge (5V/4A) melalui port pengecasan USB-C. Seperti yang dilaporkan beberapa hari yang lalu, tiada sokongan pengecasan tanpa wayar.

OnePlus 5T menerima kemaskini rekaan skrin nirbingkai dan pengimbas cap jari pada bahagian belakang. Tetapi ia masih lagi menggunakan Android 7.1.1 dengan pelancar OxygenOS. Jualan akan dibuka pada pasaran terpilih bermula 21 November hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd