Proton merupakan salah satu pengeluar kenderaan tempatan yang mana pada tahun ini memperlihatkan beberapa perubahan – termasuk penjualan pegangan kepada Geely, yang turut memiliki Volvo sebagai anak syarikatnya. Terkini, memetik laporan China Press melalui Kosmo, CEO Proton baru mengatakan akan hadir dengan tiga jenis varian kenderaan baru.
Tiga jenis kenderaan baru tersebut adalah termasuk kereta swapandu, kereta berkuasa elektrik sepenuhnya dan juga kereta terbang.
Seperti ramai sedia maklum, kereta swapandu dan kereta berkuasa elektrik merupakan evolusi baru dalam arena automotif yang telah diceburi oleh sejumlah pengeluar kenderaan lain. Perkara ini membuatkan langkah berkenaan tidak mustahil untuk Proton turut mengikut jejak.
Untuk kenderaan terbang pula, Geely (yang kini mempunyai pegangan di Proton) telah mengambil-alih syarikat Terrafugia baru-baru ini – sekaligus membolehkan teknologi disebaliknya dipindahkan dengan mudah kepada Proton untuk memudahkan pembangunan.
Mungkin kita akan mendengar lanjut mengenai perkembangan terbaru Proton ini dalam setahun dua lagi.