Carian
Asus Dan HP Umum Komputer Windows 10 Berasaskan Snapdragon 835 – Bateri Sehingga 20 Jam
December 6, 2017 Aman

Pada acara Qualcomm yang diadakan pada hari ini, selain berkongsi secara ringkas mengenai cip Snapdragon 845 yang akan datang, pihak Microsoft turut mengambil peluang untuk memperkenalkan komputer Windows 10 berasaskan ARM mereka, dinamakan sebagai Always Connected PC.

Dua rakan kerjasama Windows mengambil peluang untuk memperkenalkan peranti dibawahnya, iaitu Asus dengan Asus NovaGo 2-dalam-1, dan HP pula dengan HP Envy x2.

Asus NovaGo

Asus NovaGo hadir dengan skrin 13.3-inci pada paparan HD, memori sehingga 8GB RAM, ruangan storan 256GB, serta dikatakan menawarkan masa bateri sehingga 22 jam.

HP Envy x2 pula hadir dengan skrin 12.3-inci, memori sehingga 8GB RAM, ruangan storan sehingga 256GB, dan bateri sehingga 20 jam.

HP Envy X2

Kedua-duanya menjalankan cip Snapdragon 835, serta modem X16 untuk memastikan ia terus kekal berhubung ke arena internet.

Dari segi sistem operasi, ia menyertakan Windows 10 S, yang mana membolehkan para pengguna untuk memuat-turun dan memasang aplikasi daripada Microsoft Store sahaja.

Dengan pengenalan ini, ramai yang akan mengingat kembali ke era Windows RT yang boleh dikatakan sebagai salah satu kegagalan kerana tidak dapat menjalankan pelbagai perisian dan mempunyai kekangan tersendiri.

Untuk mengatasinya, kini Microsoft menyertakan sebuah pelagak (emulator) bagi membolehkan perisian lain dijalankan menggunakan komputer ini. Microsoft sendiri telah mempertontonkan kebolehan menjalankan perisian Photoshop menggunakannya tanpa masalah pada tahun lepas.

Kedua-dua komputer ini dijangka akan dipasarkan pada 2018 kelak. Kita mungkin akan melihat lebih banyak pengeluar turut mengikut jejak tidak lama lagi.

Komen