Apple Mengesahkan Pengambil-Alihan Shazam

Apple Mengesahkan Pengambil-Alihan Shazam

Diterbitkan pada Dis 12, 2017 oleh .

Lanjutan daripada desas-desus pada minggu lepas, hari ini, Apple mengesahkan yang mana mereka telah mengambil-alih Shazam. Jikalau mengikut laporan sebelum ini, harga pengambil-alihan dikatakan bernilai sekitar $400 juta iaitu sekitar RM1.6 bilion.

Shazam merupakan salah satu aplikasi yang memfokuskan kepada pengecaman muzik. Pengguna menggunakan aplikasi berkenaan dengan memainkan sedikit klip lagu yang ingin diketahui tajuknya, dan aplikasi berkenaan akan memperlihatkan nama penyanyi dan tajuk lagu berkenaan. Aplikasi Shazam sendiri telah dimuat-turun lebih 1 bilion kali sehingga kini.

Shazam turut mempunyai integrasi ke Apple Music dan Spotify – dimana dikatakan menghantar pengguna ke perkhidmatan berkenaan sekitar 1 juta kali setiap bulan.

Shazam dijangka akan mengintegrasikan Apple Music dengan lebih mendalam selepas ini, selain mungkin akan turut memperkenalkan sejumlah perkara baru selepas ini. Apple sendiri boleh dikatakan salah satu syarikat yang pernah bereksperimen dengan beberapa perkara sebelum ini, termasuk sebuah laman sosial memfokuskan muzik. Mungkin perkara berkenaan yang gagal sebelum ini boleh dicetuskan kembali melalui Shazam yang sedia mempunyai angka pengguna tinggi.

Disamping itu, Apple turut dilaporkan sebelum ini yang mana berminat dengan kepakaran dan teknologi AR milik Shazam.

Apple dan Shazam kini menantikan pengesahan pihak berkuasa sebelum memulakan proses integrasi dan penambahan lain selepas ini.


TIPS & ULASAN