Cari @ Amanz

Beberapa hari lepas, kita telah melihat laporan awal daripada pengguna di Reddit mengatakan Apple mengurangkan prestasi iPhone lama, dan ia boleh diatasi dengan menggantikan bateri lama kepada bateri baru. Lanjutan daripadanya, beberapa laporan lain telah hadir, dan kini Apple sendiri mengesahkan perkara berkenaan.

Melalui komen yang dikeluarkan Apple kepada TechCrunch dan Quartz, mereka mengesahkan yang mana Apple mengurangkan prestasi iPhone lama melalui kemaskini iOS baru.

Walaubagaimanapun, menurut Apple, perkara ini dilakukan dalam usaha memberikan pengalaman yang baik kepada pengguna – serta memanjangkan hayat peranti mereka.

iPhone

Menurut Apple, bateri Lithium-ion menjadi kurang berupaya dari hari ke hari untuk menawarkan tenaga bateri yang diperlukan ketika dalam keadaan sejuk, dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan membuatkan peranti dimatikan secara automatik dalam proses untuk melindungi komponen elektronik didalamnya.

Untuk mengatasinya, Apple mengurangkan prestasi peranti sedikit – sekaligus mengelakkan peranti anda mati secara automatik. Apple mengesahkan yang mana mereka telah melaksanakan ciri berkenaan pada iPhone 6, iPhone 6S dan iPhone SE pada tahun lepas, dan ia diperlanjutkan kepada iPhone 7 melalui iOS 11.2. Apple turut mengatakan mereka akan terus melaksanakan perkara berkenaan pada produk akan datang mereka.

Secara tidak langsung, Apple melanjutkan usia iPhone lama anda dan menjaga jangka hayat baterinya – tetapi dengan mengurangkan kelajuan dan prestasi iPhone berkenaan.

Menurut beberapa pengguna, perkara ini boleh diatasi dengan menggantikan bateri lama dalam iPhone kepada bateri baru – sekaligus menikmati prestasi yang baik seperti asalnya. Dan seperti biasa, anda juga mempunyai alternatif untuk membeli peranti baru, atau memilih untuk tidak memasang versi iOS baru – yang mana kadang-kala hadir dengan kemaskini sekuriti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd