Cari @ Amanz

Setiap tahun anda pasti mendengari rintihan pengguna iPhone yang mengatakan peranti mereka terasa perlahan selepas melakukan kemaskini perisian. Apple dituduh melakukan planned obsolescence, yang membuatkan pengguna berubah ke peranti model terkini. Tetapi sebenarnya jawapan kepada masalah iPhone terasa perlahan mungkin lebih mudah dan murah dari yang disangkakan.

Menurut bebenang Reddit yang sedang hangat sekarang, masalah iPhone model lama terasa perlahan adalah kerana masalah bateri. Perisian menganalisa prestasi bateri dan akan mengurangkan kelajuan pemproses mengikut arus yang mampu dibekalkan. Ini menjurus kepada peranti dengan bateri yang tidak lagi optimum berfungsi lebih perlahan dari pada hari pertama ia dibeli.

Untuk mengesahkan perkara ini, pembuka bebenang melakukan ujian penanda aras Geekbench. Markah yang dicatatkan pasca penukaran bateri nyata lebih tinggi.

Pengguna Reddit kini mempunyai teori ini berkait rapat dengan masalah bateri iPhone 6 dan 6S tahun lalu. Seperti yang kami laporkan tahun lalu, kedua-dua peranti mengalami masalah mati dengan sendiri apabila bateri mencapai tahap sekitar 30%. Program gantian bateri dilakukan oleh Apple. Pada waktu yang sama Apple didakwa melakukan perubahan kepada iOS untuk merendahkan kelajuan pemproses apabila tahap bateri rendah atau tidak lagi pada kesihatan optimum.

Masalah ini tidak dialami oleh iPhone 7 dan ke atas. Pemproses A10 Fusion (iPhone 8 )dan A11 Bionic (iPhone 8, X) mempunyai empat teras. Dua daripada teras ini adalah teras prestasi rendah yang tidak menggunakan kuasa yang banyak. Oleh itu iOS tidak perlu merendahkan kelajuan pemproses bagi mengoptimasikan prestasi peranti berasaskan kapasiti bateri.

Jadi kepada pemilik iPhone 6, 6S dan SE, anda hanya perlu menukar bateri untuk peranti terasa sepantas hari pertama ia digunakan. Ini masih lebih bertanggungjawab kepada tanggungjawab fiskal peribadi berbanding membeli peranti baru.

Sumber Reddit menerusi MacRumors

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd