Samsung Galaxy S8 dan Note 8 sedang menjalani ujian Andorid Oreo Beta mereka di beberapa pasaran terpilih. Ujian dilakukan bagi mencari pepijat dan masalah yang mungkin timbul sebelum Oreo diberikan kepada semua peranti. Antara fungsi paling menarik Oreo ialah pengenalan Project Treble yang mempercepatkan proses kemaskini Android di masa hadapan.
Setakat ini peranti keluaran Huawei dan Google Pixel disahkan menyokong Treble. Malang sekali menurut laporan laman Blorge, Galaxy S8 dan Note 8 mungkin tidak akan menyokongnya. Menerusi aplikasi Termux, status Treble peranti boleh diperiksa. Pada kedua-dua peranti yang menggunakan Oreo Beta ini ia didapati tidak diaktifkan. Masih terdapat harapan Treble akan disokong apabila kemaskini sebenar diberikan tetapi kemungkinannya adalah tipis.
Dengan ini Samsung akan mengikuti langkah OnePlus dan Nokia yang tidak menyokong Treble pada peranti Nougat yang dikemaskini ke Oreo. Peranti Huawei Mate 9 yang menyokong Treble pula didapati dengan mudah menggunakan ROM AOSP sekaligus memberikan harapan penggunaan Android Asli yang lebih mudah di masa hadapan.