HTC U11 ialah antara peranti terbaik 2017 kerana memperkenalkan sistem Edge Sense yang kemudian digunapakai pada Google Pixel 2 dan Pixel 2 XL. Namun ia kurang mendapat sambutan kerana rekaan skrin 16:9 yang digunakan dianggap ketinggalan zaman di dalam pasaran yang kini dipenuhi peranti nirbingkai. HTC U11+ dilancarkan November lalu dan ia akhirnya memasuki pasaran Malaysia.
HTC U11+ dilengkapi skrin 6″ SLCD6 QHD+ dengan nisbah 18:9. Ia dijana pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 6GB dan storan sebesar 128GB (kad mikroSD sehingga 2TB disokong) . Pada bahagian belakang ia dilengkapi kamera sebesar 12-Megapixel f/1.7 manakala kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Sebuah bateri sebesar 3930 mAh membekalkan kuasa kepada peranti dengan sokongan pengecasan pantas menerusi port USB-C. Dari segi sistem operasi pula, peranti ini menggunakan Android Oreo 8.0.
Seperti U11, U11+ mengekalkan kemampuan kalis air IP68, sistem audio BoomSound, Edge Sense, Edge Launcher dan skrin yang menyokong paparan HDR10. Pengimbas cap jari pula telah diubah kedudukannya ke bahagian belakang. Bolehlah dikatakan HTC U11+ ialah sebuah HTC U11 dengan beberapa peningkatan kecil.
Di Malaysia HTC U11+ dilancarkan pada harga RM 3099 pada 22 Januari ini dan hanya ditawarkan dalam warna Transluscent Black. Pra-tempah akan dibuka dari 15 hingga 21 Januari menerusi laman Lazada, Shopee dan 11 Street. Pembeli yang melakukan pra-tempahan akan menerima barangan edisi terhad dalam bentuk power bank sebesar 8000mAh, dermaga telefon, buku nota, kit perjalanan dan tali lanyard dari HTC.