iOS 11.3 – Empat Animoji Baru, ARKit 1.5, Business Chat Dan Banyak Lagi Bakal Disertakan

iOS 11.3 – Empat Animoji Baru, ARKit 1.5, Business Chat Dan Banyak Lagi Bakal Disertakan

Diterbitkan pada Jan 24, 2018 oleh .

Apple telah mengumumkan kemaskini seterusnya bagi sistem operasi peranti pintar mudah alih mereka ialah iOS 11.3. Selain memberikan pilihan kepada pengguna untuk mematikan fungsi memperlahankan iPhone. beberapa lagi fungsi baru akan disertakan.

Pertama sekali ialah empat Animoji baru dalam bentuk singa, naga, beruang dan tengkorak. Ini membawakan jumlah keseluruhan Animoji kepada 16 kesemuanya.  Seterusnya ialah Business Chat yang membolehkan pelanggan berurusan terus dengan wakil perniagaan sah terus dari aplikasi Message. Pengguna turut boleh melakukan pembelian dengan peniaga terus dari dalam aplikasi.

Health Records akan diperkenalkan di dalam Health. Kesemua rekod kesihatan pengguna seperti imunisasi, alergi, pembedahan dan keputusan ujian makmal dapat diakses dari satu skrin yang teratur. Maklumat ini diambil dari institusi kesihatan yang bekerjasama dengan Apple. Tiada lagi masalah kehilangan atau kekurangan rekod apabila pergi mendapatkan rawatan di masa hadapan.

Menerusi ARKit 1.5 pula, kemampuan teknologi AR dari peranti Apple akan terus dipertingkatkan. Peranti bakal mempunyai kemampuan mengenali permukaan menegak bagi meletakkan objek maya dengan betul di satahnya. Sebelum ini ARKit hanya mampu mengenali permukaan mendatar.

Bagi pengguna Apple Music, ia akan akhirnya menyokong penstriman video muzik. Kesemua muzik video terhangat, terbaru dan klasik dari pelbagai artis dapat ditonton tanpa gangguan iklan seperti pada platform penstriman lain.

Akhir sekali Apple News akan memaparkan video berita yang relevan di dalam tab For You dan Top News yang dikemaskini. Kemaskini ke iOS 11.3 akan hadir sekitar bulan Mac ini.


TIPS & ULASAN