Cari @ Amanz

Fitbit Malaysia hari ini secara rasminya telah melancarkan jam tangan pintar pertama mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Fitbit Ionic. Untuk makluman, ia telah dijual di beberapa lokasi sejak pertengahan bulan Disember 2017 lepas, tetapi dengan pengumuman rasmi ini, ia sekaligus memperlihatkan penawaran Fitbit Ionic secara meluas di Malaysia.

Fitbit Ionic

Fitbit Ionic hadir dengan rekaan muka-jam empat-segi bersaiz 1.42-inci, dan menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 5 hari melaluinya. Dengan menjadi jam tangan pintar, Fitbit turut menawarkan sejumlah aplikasi tambahan untuk dimuatkan, sekaligus membolehkan anda melakukan beberapa perkara tambahan selain memantau kecergasan.

Seperti ramai sedia maklum, Fitbit terkenal untuk penawaran memfokuskan kecergasan, dan ia diteruskan untuk Fitbit Ionic.

Jam tangan pintar ini turut menyertakan peneman bersenam dinamakan Fitbit Coach yang menyertakan sejumlah arahan untuk bersenam dan kekal sihat, mod bersenam baru, dan sokongan untuk menyimpan lagu untuk dinikmati ketika sedang bersenam atau berlari.

Di Malaysia, Fitbit Ionic ini ditawarkan pada harga RM1399.

Fitbit Aria 2

Diperkenalkan bersama adalah Fitbit Aria 2, iaitu penimbang berat pintar yang berhubung ke telefon pintar anda, dan merekodkan pelbagai data seperti berat badan, BMI, peratusan lemak badan, dan sebagainya. Pengguna turut boleh memantau pelbagai perkara dengan mudah melalui satu aplikasi, iaitu aplikasi Fitbit.

Fitbit Aria 2 ditawarkan pada harga RM620 di Malaysia.

Fitbit Flyer

Dan produk akhir sekali yang diperkenalkan oleh Fitbit hari ini adalah Fitbit Flyer, iaitu fon telinga yang dioptimasikan untuk tujuan kecergasan, dan boleh digunakan bersama jam tangan pintar Fitbit Ionic. Fon telinga ini dikatakan dibangunkan khusus untuk mereka yang sering bersenam, dimana ia kalis peluh, menawarkan kualiti audio yang baik, dilengkapi dwi-mikrofon, dan menawarkan masa penggunaan bateri tanpa-wayar sehingga 6 jam lamanya.

Di Malaysia, Fitbit Flyer ditawarkan pada harga RM590. Ketiga-tiga produk baru ini telah boleh didapati di Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd