Asus sedia menjadualkan pengenalan telefon pintar Asus Zenfone 5 pada acara MWC 2018 penghujung bulan ini. Kini, selari dengannya, beberapa gambar rekaan peranti Asus tertiris ke arena web, memperlihatkan kemungkinan rekaan Asus Zenfone 5 kelak.
Daripada rekaan yang tertiris melalui WinFuture, ia memperlihatkan penggunaan rekaan peranti dengan skrin 18:9, selain pada bahagian belakang telefon pintar ia menggunakan dwi-kamera dan juga pengimbas cap jari.
Mengikut info yang tertiris, ia mengatakan model khusus Asus X00PD dibawah keluarga Zenfone 5 yang tertiris ini akan hadir dengan cip Snapdragon 430 dan memori 3GB RAM. Apa yang sedikit mengejutkan adalah ia turut memperlihatkan penggunaan port mikro-USB untuk pengecasan.
Sekiranya hal ini benar, maka model Zenfone 5 ini dilihat lebih menyasarkan kepada pasaran negara membangun, dan mungkin menawarkan harga yang sangat kompetitif untuk peranti dengan skrin 18:9.
Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai penawaran Asus Zenfone 5, dan pelbagai peranti lain dibawah siri berkenaan dalam minggu-minggu akan datang.