Cari @ Amanz

Google Assistant ialah pembantu digital yang sangat pintar dan mampu membantu pengguna memudahkan kerja harian. Pembesar suara pintar dari Google ini dikuasakan oleh Google Assistant, di mana setiap kawalan hanya menggunakan arahan suara pengguna. Google mempunyai 3 jenis pembesar suara pintar iaitu Google Home, Google Home Mini dan yang terkini Google Home Max. Google Home Mini juga dikatakan sebagai pesaing kepada Amazon Echo Dot iaitu pembesar suara pintar dari Amazon yang dikuasakan oleh pembantu digital mereka Alexa.

Rekaan

Google Home Mini ini berbentuk bulat seakan sebiji kuih donat. Ia mempunyai kemasan fabrik pada keseluruhan permukaan kecuali di bahagian bawah .Bahagian bawah Google Home Mini ini diperbuat daripada getah untuk cengkaman lebih kuat apabila diletakkan di atas permukaan yang licin. Pada bahagian bawah belakang hanya terdapat port pengecasan MikroUSB dan juga butang senyap (mute). Kawalan pada pembesar suara ini selain daripada menggunakan suara ialah melalui sesentuh pada bahagian kiri dan kanan atas untuk mengawal aras suara dan juga lampu LED untuk memberi tahu pengguna arahan telah diterima.

Pengalaman Penggunaan

Mikrofon yang terbina pada Google Home Mini ini agak sensitif dan mampu mengesan arahan suara dalam rangkuman diameter 3 Meter. Untuk memainkan lagu, Google Home Mini hanya boleh menstrim lagu melalui perkhidmatan penstrim lagu berbayar seperti Spotify, YouTube Red dan banyak lagi.  Bunyi yang dihasilkan adalah 360° dan agak kuat, walaupun tidak mempunyai bass yang sebaik pembesar suara lain. Tetapi pada hemat kami apa yang dihasilkan oleh Google Home Mini ianya sudah memadai.

Selain dari menstrim lagu, ia juga boleh mengawal hampir semua aksesori untuk rumah pintar seperti Philips Hue, Yeelight dan Nest. Penggunaan Google Home Mini wajib disambungkan kepada internet. Tanpa sambungan internet Google Home Mini tidak boleh berfungsi dan ia akan memberitahu bahawa mereka memerlukan sambungan internet.

Untuk mula menggunakan pembesar suara ini, pengguna harus menyumbangkannya kepada telefon pintar melalui aplikasi Google Home. Mereka kemudian hanya perlu mengikuti  beberapa langkah mudah yang ditunjukkan di dalam aplikasi untuk melakukan penyambungan. Selesai sahaja membuat sambungan, Google Home Mini terus aktif dan sedia mendengar arahan.

Google Home Mini juga boleh memainkan suara dari televisyen anda, dengan syarat televisyen anda mempunyai fungsi cast terbina. Cara lain adalah menggunakan Google Chromecast atau Google Chromecast Audio. Jika anda mempunyai lebih dari sebuah Google Home Mini anda boleh menggabungkan semua Google Home Mini memainkan audio yang sama, menjadikan set Google Home Mini seperti set pembesar suara stereo ataupun ala-ala Home-Theater. 

Google Home Mini juga boleh memancarkan suara atau mesej dari satu Google Home Mini kepada yang lain, dengan syarat setiap Google Home Mini itu disambungkan kepada sambungan internet yang sama. Disebabkan Google Home Mini adalah saingan kepada Amazon Echo Dot, jika memberi arahan kepada Google Home Mini “Hey Google Say Hi To Alexa” Echo Dot akan menyahut dan akan membalas kembali soalan Google.

Mungkin suara yang dihasilkan dari Google Home Mini ini tidak sehebat seperti Google Home. Tetapi kombinasi saiz yang padat, kemasan premium dan harga yang kurang dari separuh dari Google Home, ia sangat berbaloi untuk dimiliki iaitu hanya $39 (~RM 152). Jika fokus anda adalah untuk memiliki pembesar suara pintar yang mempunyai aras suara yang kuat, bass yang hebat anda boleh beli Google Home Max yang berharga $399 (~RM1562).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd