Cari @ Amanz

Tahun lalu Nokia mengejutkan MWC dengan melancarkan Nokia 3310 2017. Peranti klasik yang diberikan gelaran “peranti yang tidak boleh mati” dilancarkan semula dengan rekaan moden, skrin berwarna dan dilengkapi kamera. Tahun ini kejutan yang dibawakan oleh Nokia ialah model baru Nokia 8110 4G.

Bagi yang kurang arif, Nokia 8110 4G ialah model baru untuk Nokia 8110 yang juga dikenali sebagai Banana Phone dan digunakan oleh Neo di dalam filem The Matrix. Seperti 3110 tahun lalu, 8110 4G kini dilengkapi skrin berwarna, menyokong permua Snake versi baru dan kamera. Turut disertakan ialah aplikasi Google Assistant, Google Maps, Twitter, Facebook dan Facebook Messenger. Masih tiada sokongan untuk WhatsApp buat masa ini tetapi telefon ini boleh digunakan sebagai hotspot WiFi sekiranya perlu.

Peranti dilengkapi skrin 2.5″ QVGA, pemproses 1.1 GHz dua teras Qualcomm 205, memori sebesar 512 MB, storan sebesar 4GB, kamera sebesar 2-Megapixel dan bateri sebesar 1500 mAh. Sistem operasi yang digunakan ialah Smart Feature OS.

Rekaan tubuh melengkung dan gagang yang boleh ditarik keluar juga dikekalkan. Bagi mereka yang terlepas untuk memiliki Nokia 8110 pada tahun 2017, Nokia 8110 4G akan dilancarkan pada bulan Mei ini pada harga €79 (~RM 381) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd