Cari @ Amanz

Fiksyen sains mempunyai tabiat menjadi realiti. Telefon pintar merangkap komputer mudah alih adalah fiksyen di dalam filem Star Trek tetapi kini digunakan secara meluas. Telefon pintar dengan hampir semua-skrin juga dulu dianggap fiksyen tetapi kini menjadi realiti dengan wujudnya Vivo Apex.

Vivo Apex ialah telefon pintar konsep yang mempunyai skrin 6″ OLED FullView Display yang melitupi 98% bahagian hadapan peranti. Ini menjadikannya peranti dengan permukaan skrin terbesar pernah dihasilkan. Sebelum ini rekaan Vivo Apex tertiris dengan ura-ura mengatakan ia akan dilancarkan sebagai V30. Bezel atas dan sisi hanya setebal 1.8mm manakala bezel bawah pula setebal 4.3 mm.

Seperkara lagi yang menarik dengan Apex ialah separuh bahagian skrin boleh digunakan untuk mengimbas cap jari menggunakan teknologi Half-Screen In-Display Fingerprint Scanning Technology.  Pada Vivo X20Plus UD yang dilancarkan bulan lalu, hanya sebahagian kecil skrin boleh digunakan untuk melakukan imbasan. Dengan teknologi terkini ini, ia memudahkan lagi proses menyahkunci pada peranti semua-skrin.

Akhir sekali untuk mengambil swafoto, kamera hadapan akan keluar dari bingkai seperti periskop kapal selam. Pada Apex kamera sebesar 8-Megapixel yang digunakan tersimpan kemas pada bahagian atas bingkai peranti apabila tidak digunakan.

Ini ialah konsep yang menarik yang langsung tidak dijangka dari Vivo. Malahan rekaan semua-skrin nirbingkai Apex adalah lebih nipis berbanding telefon Vivo yang digunakan oleh Tony Stark di dalam filem Captain America Civil War. Seperti biasa sekiranya dihasilkan sebagai peranti sebenar kelak, teknologi ini mungkin akan digunakan pada peranti OnePlus dan Oppo. Apakah pendapat anda tentang peranti dengan skrin dengan peratusan skrin yang amat tinggi ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd