Cari @ Amanz

Tema MWC tahun 2018 mungkin secara tidak rasmi ialah “skrin bertakuk”. Pengeluar telefon pintar Android mula menggunakan skrin yang dipopularkan oleh iPhone X. Rekaan yang kami secara peribadi rasakan adalah agak buruk ini mula digunakan secara meluas pada peranti kelas  utama seperti Asus Zenfone 5Z dan peranti kelas pertengahan seperti Leagoo S9.

Di ruangan komen kami kerap melihat pembaca berkata “rekaan skrin bertakuk ini meniru rekaan iPhone X”. Ini membuatkan kami tertanya-tanya adakah ini benar? Jawapannya ialah tidak kerana telefon selular pertama dengan skrin bertakuk adalah Motorola Motofone F3.

Motorola Motofone F3 ialah peranti yang dilancarkan pada tahun 2006. Ia mempunyai takuk berbentuk logo kelawar Motorola yang membelah bahagian atas skrin berteknologi e-ink yang dijenamakan sebagai ClearVision Display. Motofone F3 juga adalah antara telefon selular terawal menggunakan skrin ink.

Bahagian kiri takuk dikhaskan untuk paparan kekuatan isyarat selular manakala bahagian kanan takuk adalah untuk paparan caj bateri. Dengan penggunaan skrin e-ink, bateri 800 mAh peranti ini dapat bertahan sehingga 12 hari .Tetapi kekuatan sebenar skrin ini ialah ia tahan lasak.

Seperti Nokia 3310, ia masih mampu berfungsi walaupun “diseksa” oleh pemilik. Skrin e-ink menggunakan panel plastik dan bukannya kaca. Tiada cecair LCD dan apabila digilis kereta misalnya, skrin masih boleh berfungsi.

Walaupun begitu Motofone F3 tidak sempurna. Port pengecasan berkongsi dengan bicu audio. Penyesuai diperlukan untuk menggunakan fon telinga 3.5mm. Masalah peranti tidak boleh dicas sambil menggunakan fon telinga telah dipelopori Motofone F3. Motorola lebih hipster dari Apple, LeEco dan HTC dalam hal ini. Tidak seperti peranti moden, tiada sokongan Bluetooth disertakan dan pengguna memang tidak boleh menggunakan aksesori audio ketika peranti dicas.

Peranti juga tidak dilengkapi butang kawalan audio pada bahagian sisi. Kesemua kawalan navigasi, menu, fungsi dan audio dilakukan menggunakan butang empat arah seakan D-Pad sebuah pengawal permainan video di hadapan peranti.

Papan kekunci fizikalnya juga mempunyai rekaan rata dan mengingatkan kami kepada rekaan Motorola RAZR V3. Ini menyukarkan pengguna untuk menaip mesej tanpa melihat kekunci. Akhir sekali Motofone F3 ialah peranti yang tidak dilengkapi dengan sebarang kamera atau pemain MP3. Ia sebuah peranti asas yang dilancarkan dua belas tahun yang lalu menjadi pelopor kepada trend skrin bertakuk yang hangat sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd