Carian
KGI : Samsung Galaxy Note 9 Mungkin Tidak Sertakan Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin
March 10, 2018 Aman

Dengan perkembangan skrin nirbingkai, salah satu perkara yang turut dilihat oleh ramai pengeluar adalah penggunaan pengimbas cap jari bawah skrin, sekaligus menjimatkan penggunaan ruangan pada peranti.

Sebelum ini, ramai menyasarkan peranti keluaran tahun ini akan hadir bersama-sama dengannya, malah beberapa prototaip peranti dengan teknologi seumpamanya telah diperlihatkan ketika MWC 2018.

Kini, bercakap mengenainya, penganalisa popular, KGI mengatakan gergasi Korea Selatan, Samsung telah membatalkan perancangan untuk menyertakan pengimbas cap jari dibawah skrin pada Galaxy Note 9 akan datang.

Pembatalan ini dikatakan disebabkan oleh masalah teknikal. Penggunaan teknologi ultrasonik mahupun optikal gagal mencapai apa yang diperlukan oleh Samsung. Antara cabaran yang dihadapi adalah termasuk apabila pelindung skrin tambahan digunakan pada skrin Galaxy Note 9, selain turut mengambil-kira kadar kejituan imbasan cap jari, serta penggunaan tenaga bateri.

Dengan penangguhan pada Galaxy Note 9, kita mungkin hanya akan melihatnya pada 2019 kelak.

Apa pun, seperti biasa, ini laporan awal daripada pihak penganalisa, dan tiada komen rasmi Samsung berkaitan Galaxy Note 9 buat masa ini.

Komen