Xiaomi Mi MIX 2S dilancarkan minggu lalu dengan sistem dwi-kamera yang menurut DXOMark adalah setanding dengan sebuah iPhone X. Kedua-dua peranti menerima 101 markah untuk kemampuan mengambil gambar. Setiap kali markah DXOMark digunakan di dalam majlis pelancaran peranti, ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah kebenaran markah ujian mereka?
Kami bernasib baik mempunyai akses kepada sebuah Xiaomi Mi MIX 2S sejurus selepas ia dilancarkan di Shanghai. Oleh itu kesempatan ini kami gunakan untuk melakukan sendiri perbandingan kemampuan kamera kedua-dua peranti.
Di dalam artikel ini kesemua gambar di bahagian atas diambil menggunakan Apple iPhone X manakala gambar di bahagian bawah pula diambil menggunakan Xiaomi Mi MIX 2S. Kesemua gambar diambil menggunakan mod automatik.
- Info
- Harus kami tekankan di sini perisian yang digunakan pada Mi MIX 2S di dalam sesi perbandingan ini bukanlah versi akhir. Oleh itu ia kualiti gambar-gambar yang dipaparkan mungkin tidak mencerminkan kemampuan produk yang akan dijual kelak.
Mari kita mulakan terlebih dahulu dengan kemampuan zoom optikal kedua-dua peranti. Gambar di bawah diambil pada waktu tengah hari ketika matahari tegak di atas kepala. Dari segi penghasilan semula warna, gambar yang diambil menggunakan iPhone X adalah lebih tepat dan menghampiri objek sebenar. Keperincian pada ukiran burung garuda di bawah juga lebih tajam.
Tetapi apabila zoom optikal digunakan kami gambar yang diambil menggunakan Mi MIX 2S nyata lebih jelas. Gambar yang diambil menggunakan iPhone X mempunyai masalah silau sehingga keperincian gambar hilang dari pandangan.
Kedua-dua peranti dilengkapi sistem dwi-kamera 12+12 Megapixel dengan lensa f/1.8+f/2.4. Jadi di atas kertas kemampuan kamera seharusnya setara. Berikut ialah dua set gambar yang diambil pada waktu malam pula. Gambar dari iPhone X lebih terang tetapi kualiti yang diambil masih kurang memuaskan jika dibandingkan dengan apa yang lihat pada Galaxy S9+ dan Huawei P2o Pro. Kedua-dua iPhone X dan Mi MIX 2S hanya mempunyai kemampuan mengambil gambar yang sederhana pada waktu malam.
Gambar-gambar di bawah menjadi sumber perdebatan di pejabat kami. Saya secara peribadi lebih menggemari gambar yang diambil menggunakan Mi MIX 2S yang terletak di bahagian bawah. Warna yang dipaparkan pada hemat saya lebih bermaya berbanding yang diambil menggunakan iPhone X. Di dalam ketiga-tiga set gambar, tidak boleh disangkal ialah kualiti perbezaan kualiti gambar yang dihasilkan tidak jauh berbeza walaupun Mi MIX 2S dijual pada separuh harga sebuah iPhone X.
Kamera Mi MIX 2S dilengkapi sistem kecerdasan terbina yang mengubah tetapan kamera bergantung kepada objek yang ingin diambil. Menurut Xiaomi pengguna tidak perlu risau untuk mengawal kamera secara manual apabila kecerdasan buatan ini digunakan.
Realiti tidak seindah apa yang disebut ketika majlis pelancaran. Setiap kali fungsi kecerdasan buatan diaktifkan, kami menyedari masa diambil untuk mengambil gambar menjadi perlahan. Gambar yang dihasilkan pula kelihatan aneh seperti di bawah. Sistem ini nyata belum sempurna kerana warna hijau pada pokok dan latar belakang kelihatan aneh sekali.
Kerap kali juga ia mengambil masa beberapa saat untuk gambar diproses. Sepanjang penggunaan selama hampir dua hari terdapat pepijat yang menyebabkan aplikasi kamera gagal berfungsi. Hanya dengan menghidupkan semula peranti aplikasi kamera dapat dilancarkan.
Masalah ini tidak pernah kami alami semasa menggunakan iPhone X. Malahan kami sedari mengambil gambar di dalam mod HDR pada Mi MIX 2S juga lebih perlahan berbanding iPhone X. Bagi pengguna aplikasi kamera, kepantasan aplikasi adalah sama penting dengan kualiti gambar yang diambil. Kami hanya boleh berharap dua masalah ini dapat diselesaikan sebelum Mi MIX 2S dijual kepada orang ramai. Sekali lagi ini kami tekankan Mi MIX 2S yang kami gunakan masih lagi menggunakan perisian percubaan.
Setakat ini hanya gambar menggunakan rakaman biasa dipaparkan. Bagaimana pula dengan rakaman mod Portrait? Dua contoh di bawah menunjukkan perbezaan terletak pada warna gambar yang diambil. Dari pandangan mata saya, warna pada gambar yang diambil oleh iPhone X kelihatan lebih bermaya. Kualiti bokeh lebih kemas pada Mi MIX 2S untuk gambar lampu di bawah. Apa pula pendapat anda?
Pada pendapat anda peranti manakah yang mempunyai kemampuan kamera yang lebih baik? Adakah DXOMark tepat apabila ia meletakkan Mi MIX 2S setanding dengan sebuah iPhone X. Jawapan terletak di tangan anda. Apa yang boleh kami katakan bagi sebuah peranti yang dijual pada harga sekitar RM 2500 (8GB RAM+ storan 256 GB), kemampuan kameranya tidak terlalu jauh berbeza dengan iPhone X yang dijual pada harga RM 5899 (3GB RAM + storan 256GB). Kami tidak sabar untuk melakukan ulasan penuh Xiaomi Mi MIX 2S sekiranya ia dijual di Malaysia kelak dengan perisian versi akhir supaya dapat melakukan perbandingan yang lebih tepat.