Carian
Skrin iPhone 8 Yang Diganti Di Pusat Baik Pulih Tidak Bertauliah Gagal Berfungsi Selepas Kemaskini iOS 11.3
April 11, 2018 Effi Saharudin

Keretakan pada skrin mungkin kerosakan paling kerap dilihat pada telefon pintar. Skrin yang semakin besar dipadankan dengan bezel semakin kecil menyebabkan kebarangkalian ia berlaku semakin meningkat. Pengguna pula akan mencari kedai paling murah dan biasanya tidak bertauliah untuk melakukan baik pulih.

Sekiranya anda pengguna iPhone 8 dan 8 Plus yang menukar skrin di kedai baik pulih tidak bertauliah ini, kemaskini iOS 11.3 akan mengakibatkan skrin peranti tidak lagi berfungsi. Masalah ini mula disedari oleh pemilik pusat baik pulih tidak bertauliah yang menerima rungutan dari pelanggan-pelanggan mereka.

Komuniti baik pulih kini merasakan cip khas pada skrin iPhone 8 dan 8 Plus adalah penyebab masalah ini. Ia perlu digantikan sebelum skrin boleh berfungsi semula sebelum kemaskini iOS 11.3. Mereka merasakan ini ialah taktik Apple untuk memaksa pengguna untuk hanya melakukan baik pulih menerusi mereka atau pusat baik pulih bertauliah.

Ini bukan kali pertama kemaskini menimbulkan masalah. Sebelum ini pengguna yang menukar skrin dari pusat baik pulih tidak bertauliah mengalami masalah TouchID selepas kemaskini perisian dilakukan. Apple kemudian memberikan kemaskini baru yang mengaktifkan semula peranti tetapi sistem TouchID tidak lagi boleh digunakan.

Komen