Maxis sedia terkenal dengan penawaran pelan prabayar mereka Hotlink sebelum ini. Namun, pada awal tahun ini, Maxis mengambil langkah untuk menawarkan pelan Hotlink Postpaid Flex, sekaligus turut membawa jenama Hotlink untuk penawaran pelan pascabayar.
Selepas Maxis, pihak Celcom kini dilihat turut mengikut jejak. Kini, ia dilihat Celcom turut memperkenalkan pelan pascabayar untuk jenama Xpax mereka, dinamakan Xpax Postpaid. Celcom dijangka memperkenalkannya secara rasmi pada minggu hadapan, 18 April kelak.
Xpax Postpaid disasarkan untuk mereka yang berumur 25 tahun dan ke bawah, dan melaluinya ia menyertakan beberapa promosi khusus. Termasuk antaranya adalah pakej panggilan tanpa had kepada 5 rakan didalam rangkaian Celcom, akses tanpa had untuk YouTube pada lewat malam, dan akses Music Walla secara percuma.
Dua pakej ditawarkan dibawah Xpax Postpaid, iaitu XP50 dan juga XP79. XP50 menawarkan pakej data 15GB pada harga langganan RM50 sebulan, sementara XP79 pula menawarkan pakej 22.5GB pada harga RM79 sebulan. Pelan yang berbeza turut ditawarkan sekiranya pengguna memilih untuk mendapatkan pelan Xpax Postpaid ini bersama-sama dengan peranti.
Seperti biasa, pengguna boleh menambah data dengan membelinya secara berasingan sekiranya apa yang ditawarkan tidak mencukupi.
Pihak Celcom dijangka melancarkannya secara rasmi pada minggu hadapan. Tetapi, seperti biasa, beberapa pengedar telah mula mengambil pendaftaran untuknya. Selain itu, Celcom sendiri telah menyenaraikan pelan Xpax Postpaid XP50 dan XP79 pada laman Celcom Store.