Apple akan mengumumkan laporan kewangan mereka minggu hadapan dan diramalkan masih tinggi walaupun jualan peranti tahun lalu dipercayai berkurangan. Keuntungan yang dicatatkan ini mungkin diperlukan bagi menentang pelbagai kes saman yang dihadapi mereka. Terkini dua sama difailkan atas pelanggaran paten sistem dwi kamera yang digunakan pada iPhone X serta mod do not disturb ketika memandu.
Saman pertama mengenai sistem kamera iPhone X adalah dari Corephotonics. Menurut writ saman yang difailkan, Corephotonics mempunyai beberapa paten sistem dwi-kamera yang meningkatkan kualiti gambar yang diambil. Mereka pernah menghubungi Apple untuk berkongsi teknologi yang dihasilkan. Apple dikatakan memuji teknologi yang diperlihatkan tetapi tidak berminat untuk melakukan kerjasama. November lalu mereka memfailkan saman yang sama ke atas Apple kerana penggunaan teknologi pada kamera iPhone 7 Plus dan 8 Plus.
Saman kedua pula ialah dari Allied Signal yang memegang paten sistem yang mengesan pergerakan kereta yang kemudiannya menghalang notifikasi pada telefon pintar dari terpapar pada skrin. Paten ini menurut mereka digunakan pada sistem do not disturb pada iPhone.
Tahun ini Apple telah diarahkan membayar gantirugi bernilai $502.6 juta (~RM 1.95 bilion) kepada VirnetX kerana melanggar paten yang kemudiannya digunakan pada sistem iMessage. Dengan keuntungan syarikat yang meningkat, jumlah saman yang perlu dihadapi juga nampaknya meningkat.