Cari @ Amanz

Menjadi kebiasaan untuk syarikat-syarikat produk atau perkhidmatan melakukan acara tahunan bagi berkongsi kemaskini berkenaan produk mereka, disamping memperkenalkan fungsi-fungsi terbaru yang hadir ciptaan mereka. Jika Apple dengan Keynote-nya, acara Google IO untuk pembangunnya, dan juga AWS dengan Re-invent pada akhir tahun, bagi Oracle Netsuite, acara Netsuite Suiteworld merupakan acara tahunan untuk mereka.

Dan pada acara Netsuite Suiteworld, mereka telah berkongsi mengenai perancangan mereka sepanjang tahun ini yang merangkumi fungsi-fungsi yang bakal diperkenalkan pada perkhidmatan mereka. Memandangkan perkhidmatan mereka disasarkan untuk syarikat-syarikat yang pelbagai, kemaskini yang diperkenalkan turut merangkumi pelbagai perkara bagi memenuhi keperluan syarikat yang makin berkembang pesat.

Ready, Set, Grow

Pada hari pertama yang bertemakan Ready, Set, Grow, Jim McGeever telah berkongsi mengenai prestasi Netsuite yang merupakan pelopor perisian ERP berasaskan awan. Menurut beliau, syarikat-syarikat yang menggunakan perkhidmatan Netsuite dilaporkan dapat mengekalkan pelanggan mereka, dapat memastikan pekerja mereka kekal bersama mereka, dan juga dapat menambahkan keuntungan perniagaan mereka hasil perancangan yang sistematik.

Namun begitu, beliau juga turut berkongsi yang masa kini lebih mencabar untuk membesarkan perniagaan. Ini kerana untuk syarikat yang berkembang dari segi pekerja, pelanggan, operasi, pembuatan dan sebagainya, ia mempunyai risiko yang tersendiri dan penting untuk syarikat tersebut kekal fokus dalam visi mereka. Oleh itu perisian atau perkhidmatan yang sesuai untuk syarikat merupakan salah satu kemestian. Beliau juga turut melaporkan yang 17% dari keseluruhan pengguna Netsuite mengatakan perkhidmatan ini telah membolehkan perniagaan mereka berkembang pesat berbanding perkhidmatan lain seperti SAP.

It’s Grow Time

Pada hari kedua yang bertemakan It’s Grow Time, Evan Goldberg yang juga merupakan antara ahli terawal Netsuite sebelum pemilikan Oracle keatasnya, telah berkongsi perancangan dari segi fungsi perkhidmatan yang bakal hadir pada tahun ini. Beliau juga menyatakan akan menaikkan kos operasi 2018 kepada 20%, dengan 1 Billion USD akan dilaburkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Bagi membantu perniagaan yang berkembang pesat, kemaskini akan hadir kepada perkhidmatan seperti SuiteAnalytics, SuiteTax, SuiteCloud Developer Framework dan juga integrasi Oracle Cloud. Dan juga untuk pertama kalinya, Netsuite akan menawarkan SuiteCommerce bagi memudahkan syarikat membangunkan kedai atas talian mereka yang tersendiri.

Menggunakan SuiteCommerce, syarikat yang telahpun menggunakan Netsuite boleh mencipta kedai atas talian dengan mudah dan ini dijayakan dengan integrasi pangkalan data dan inventori barangan yang telahpun direkodkan. Seperti contoh jika salah satu syarikat pengeluar pakaian mungkin perlu mengupah pembangun luar untuk mencipta kedai atas talian mereka, atau mungkin perlu menggunakan khidmat jabatan ICT mereka untuk membangunkannya, namun dengan Netsuite, fungsi tersebut sedia digunakan dengan mudah.

SuiteCommerce juga turut menyediakan tema-tema rekaan kedai atas talian sekaligus memudahkan perniagaan menggunakan tema yang bersesuaian dengan produk mereka. Kemaskini fungsi ini juga akan dilakukan secara automatik dan fungsi ini akan terus tersedia menerusi SuiteSuccess dan syarikat boleh melancarkan kedai atas talian mereka dalam masa 30 hari dan buat masa ini hanya tersedia untuk syarikat di Amerika sahaja.

Satu lagi fungsi terbaru untuk perniagaan adalah kebolehan untuk menjalankan Netsuite diluar talian (offline) dimana solusi sebegini sesuai untuk mesin POS (Point-of-Sale) yang tidak berhubung dengan internet seperti contoh kendera saji (food truck). Ia membolehkan syarikat yang mempunyai operasi perniagaan sebegini dapat menguruskan perniagaan mereka walaupun diluar talian dan transaksi perniagaan akan dilakukan sejurus apabila mesin POS tersebut berhubung dengan internet.

Kemaskini yang lain termasuklah pada pengurusan sumber perniagaan, kemaskini fungsi bil perniagaan, SuiteAnalytics Beta yang baru dilancarkan, SuiteTax yang kini boleh menyokong lebih banyak negara bagi membantu syarikat yang beroperasi di pelbagai negara berlainan dan banyak lagi. Malah bagi menyokong pertumbuhan syarikat di pelbagai negara,

Netsuite turut menyatakan akan melakukan proses terjemahan kepada bahasa negara tersebut. Lebih dari itu sokongan secara telefon dan komunikasi dalam bahasa tempatan akan turut tersedia kepada negara-negara tersebut.. Dan bagi menyokong lokalisasi, isu-isu serta undang-undang negara akan dipatuhi dan diikuti dan diimplementasi dalam perkhidmatan mereka, sama seperti contoh perkiraan GST bagi syarikat di Malaysia yang menggunakan Netsuite.

Dengan kesemua perancangan dari Netsuite ini, jelas menunjukkan inisiatif dan komitmen mereka dalam kekal menjadi pelopor perkhidmatan ERP berasaskan awan di seluruh dunia. Dan dengan perancangan ini juga, ia sekaligus dapat membantu pertumbuhan syarikat baik dalam memajukan perniagaan mereka, mahupun menyediakan mereka untuk pasaran antarabangsa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd