Google baru-baru ini telah memperkenalkan GMail versi web baru yang menawarkan sejumlah ciri baru. Menariknya, Google tidak berhenti setakat itu sahaja, dan hari ini turut menambah sebuah lagi ciri baru pada perkhidmatan emel berkenaan, dinamakan Smart Compose.
Smart Compose ingin memudahkan proses anda menulis emel pada GMail – dimana ia beroperasi seumpama ciri autocomplete pada papan kekunci maya. Dengan integrasi Smart Compose ini, ia akan menggunakan pembelajaran mesin dalam mencadangkan sesuatu ayat – sekaligus mengurangkan kesalahan tatabahasa dan ejaan pada emel anda.
Sebaik sahaja sesuatu cadangan dipaparkan, anda boleh menerimanya dengan hanya menekan kekunci “Tab” pada komputer anda.
Ciri ini akan diperkenalkan kepada pengguna GMail dalam masa beberapa minggu akan datang.