Cari @ Amanz

OnePlus 6 adalah telefon pintar kelas utama yang dinanti-nantikan oleh peminat OnePlus. Ia adalah pewaris kepada OnePlus 5 yang dilancarkan pada tahun lepas. OnePlus 6 ini akan dilancarkan secara rasminya tiga hari lagi, ia dijana dengan cip pemproses Snapdragon 845, menggunakan teknologi pengecasan DASH, mempunyai tetapan dwi-kamera menegak dan juga rekaan skrin bertakuk. Baru-baru ini melalui Amazon Jerman, rekaan penuh OnePlus 6 tertiris.

OnePlus 6 dilihat menawarkan dua variasi warna hitam iaitu Mirror Black dan juga Midnight Black. Warna putih yang tertiris pada kicauan Amitabh Bachchan minggu lepas tidak disenaraikan, ia mungkin akan ditawarkan pada negara-negara lain. Selain itu, menurut laman Amazon Jerman ini juga kaca pada hadapan dan belakang OnePlus 6 adalah diperbuat daripada Gorilla Glass 5. Sokongan kalis air juga turut diperlihatkan, namun tahap ketahanannya tidak diberitahu.

OnePlus 6 masih menggunakan resolusi FHD+ pada peranti mereka dengan panel Optic AMOLED 6.28″ dengan nisbah unik 19:9. Akhirnya, OnePlus mengembalikan OIS pada OnePlus 6 setelah mereka membuangnya pada OnePlus 5 dan OnePlus 5T tahun lalu. Kamera OnePlus 6 pula dikatakan turut menyokong rakaman gerak perlahan pada kualiti yang baik dan sokongan mod potret.

Melalui laman Amazon Jerman ini, OnePlus 6 hadir dengan storan 64GB/6GB dan 128GB/8GB dan dijual pada EUR519 (~RM2452) dan EUR569 (~RM2688). Jika anda peminat jenama OnePlus, adakah anda akan memiliki peranti ini atau tunggu akan OnePlus 6T?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd