Pandang Pertama Honor 10 – Peranti Berprestasi Tinggi Yang Mampu Milik

Pandang Pertama Honor 10 – Peranti Berprestasi Tinggi Yang Mampu Milik

Diterbitkan pada Mei 22, 2018 oleh .

Honor 10 dilancarkan di Malaysia hari ini dan merupakan peranti pertama dari keluarga Honor dengan rekaan skrin bertakuk. Ia boleh dikatakan sebagai Huawei P20 versi lebih mampu milik dengan tanda harga yang lebih murah. Terdapat banyak peranti kelas utama pada harga mampu milik di pasaran sekarang jadi bagaimana pula dengan Honor 10? Ini ialah pandang pertama untuk peranti ini.

Spesifikasi

Honor 10
Skrin 5.84″ IPS LCD FHD+ (432 PPI)
Pemproses Hisilicon Kirin 970
CPU 4 x 2.4 GHz Cortex A-73
4 x 1.8 GHz Cortex A-53
Cip Grafik Mali-G72 MP12
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 128 Gigabyte
Kamera Utama 16 Megapixel f/1.8 + 24 Megapixel Monokrom
Kamera Depan 24 Megapixel, f/2.0
Bateri 3400 mAh (Pengecasan Pantas 50% 24 Minit – 5V/4.5A)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1,3,5,7,8,19,20,38,40,41
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Jari, Wajah
Harga Jualan RM 1699

Skrin 5.84″ IPS LCD digunakan dengan resolusi FHD+ sahaja. Ini ialah skrin yang hampir sama seperti yang ditemui pada Huawei P20 sebelum ini. Ia mempunyai nisbah memanjang 19:9 dengan bahagian dagu yang lebih kecil berbanding model sebelum ini iaitu Honor 9. Bahagian sisi sedikit bulat memastikan keselesaan jari bergerak dari skrin ke sisi peranti. Paparan skrin adalah baik dan tajam dengan paparan warna yang memuaskan. Tetapi seperti sedia maklum skrin IPS LCD agak sukar dibaca di bawah sinaran matahari yang terik. Ia juga menggunakan lebih banyak kuasa bateri berbanding skrin OLED yang kini kian popular.

Peranti dijana pemproses Hisilicon Kirin 970, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 128 GB. Sayang sekali, Honor 10 kali ini tidak menyokong penambahan memori kad mikroSD. Pemproses Hisilicon Kirin 970 yang digunakan ini adalah lebih berkuasa dan menjimatkan bateri jika dibandingkan dengan Hisilicon Kirin 960 yang digunakan pada Honor 9. GPU yang disertakan pula adalah Mali-G72 MP12 yang merupakan peningkatan dari Mali-G71 MP8 pada Hisilicon Kirin 960.

Sistem dwi-kamera menggabungkan sensor 16+24 Megapixel f/1.8 + lensa monokrom dengan teknologi pengesan fokus berfasa (PDAF)Sistem dwi-kamera yang digunakan adalah sama hampir sama dengan Huawei P20, kecuali Honor 10 tidak mempunyai sebarang penjenamaan Leica. Lebih menarik, sistem kamera Honor 10 ini mempunyai kecerdasan buatan yang boleh mengesan objek atau suasana dan mengubah tetapan yang sesuai. Pengelasan dan perbezaan fungsi pada peranti Honor adalah lebih jelas berbanding yang dilakukan oleh Xiaomi.

Dari segi kemampuan merakam video pula, Honor 10 boleh merakam pada tetapan maksimum 2160P 30FPS sahaja. Fungsi yang disokong ialah mod Potret, Moving Picture, AI, Lensa AR, mod Pro, mod Monokrom dan banyak lagi. Terdapat juga mod Night Shot yang seakan dengan Huawei P20 yang membolehkan tangkapan gambar kurang cahaya yang lebih baik. Kamera hadapan pula sebesar 24-Megapixel f/2.0 dengan beberapa mod potret yang unik. Selain itu, Honor 10 juga boleh mengambil swafoto dengan mod lighting, seakan iPhone X.

Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 3400 mAh dengan kemampuan pengecasan pantas (5V/4.5A) ke tahap 50%  dalam masa 25 Minit melalui USB-C. Ini ialah saiz bateri yang setanding dengan Huawei P20.

Jadi berdasarkan spesifikasi, jelaslah Honor 10 ini ialah sebuah Huawei P20 yang diubah sedikit.

Rekabentuk

Peranti ini mempunyai rekaan skrin bertakuk. Selain itu ia mempunyai sisi yang diperbuat daripada aluminium dan panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Seperti Honor 8/9, panel kaca Honor 10 juga mempunyai kesan cahaya yang cantik jika disuluhkan.

Kemasan peranti adalah cukup baik bagi sebuah peranti kelas utama dengan harga mampu milik. Dari segi kemasan dan kualiti, binaan Honor 10 ini setanding dengan kemasan peranti utama Huawei.

Pada sisi kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara dari jenis rocker. Kedua-dua butang tercantum kemas pada tubuh dan tidak bergoyang. Sebuah talam dwi-SIM nano terletak pada sisi kiri. Talam ini perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan dari tubuh peranti.

Sebuah port pengecasan USB-C, kekisi audio dan bicu audio 3.5 mm terletak pada bahagian bawah peranti. Akhir sekali sebuah pemancar infra merah terletak pada bahagian atas.

Sebuah pengimbas cap jari berbentuk bujur terletak pada bahagian bawah skrin. Lokasi pengimbas cap jari ini kurang ergonomik kerana ia lebih mudah diakses jika terletak pada bahagian belakang seperti Honor 8 Pro. Tetapi tidak menjadi masalah, kerana nyah kunci berasaskan wajah turut terbina sebagai alternatif lain. Panel belakang kaca ini mempunyai kemasan yang memerangkap cap jari dan mudah kotor. Peranti ini sekaligus licin di dalam tangan dan mudah terjatuh.

Bercakap tentang panel belakang, satu lagi perkara negatif yang boleh kami sentuh ialah rekaan dwi-kamera yang terkeluar dari tubuh. Ini menjadikan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Pihak Honor turut menyertakan sebuah kerangka silikon dengan setiap pembelian tetapi ia masih tidak melindungi lensa kamera dan ia mungkin mudah calar. Secara peribadi, untuk peranti dengan panel yang unik ini kami lebih menggemari kerangka lutsinar dan juga kerangka yang boleh membuang bonjol kamera agar apabila ia rata apabila diletak pada permukaan meja.

Bagi sebuah peranti yang dijual di bawah harga RM 1699, rekaan dan kemasan Honor 10 adalah amat memuaskan. 2018 ialah zaman di mana peranti murah mempunyai spesifikasi peranti mahal dan peranti dengan spesifikasi mahal kini mempunyai harga yang murah. Pengguna pasti bijak memilih dan mampu memiliki sebuah peranti kelas utama dengan harga “bajet”.

Antaramuka

Sistem operasi Android Oreo 8.1 digunakan dengan antaramuka EMUI 8.1. EMUI 8.1 kali ini membawakan beberapa ciri Android asli seperti aplikasi permesejan Google Message, penggunaan Google Assistant yang lebih mudah dan juga App Shorcuts apabila ikon aplikasi ditekan.

Terdapat tiga butang navigasi (back, home, multi-tugas) atas skrin yang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Bagi mereka yang mahukan kawalan seakan iPhone X, terdapat Off-screen nagigation button yang membolehkan peranti dikawal sepenuhnya menggunakan gesture pada pengimbas cap jari.

EMUI 8.1 kali ini jauh berbeza dengan EMUI sebelumnya. Walaupun rekaan antaramuka keseluruhan hampir sama, ia masih membawakan ciri dan fungsi Android Oreo 8.1 yang hadri pada peranti Android asli. Contoh lain adalah fungsi Split Screen. Untuk menggunakannya pengguna perlu pergi ke skrin multi-tugas dan akan terdapat ikon Split Screen  pada aplikasi berkenaan.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disokong oleh Honor 10 dalam EMUI 8.1.

App Twin – Melancarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp menggunakan log masuk berbeza.

Hide Notch – Menyorokkan takuk sekiranya kurang digemari pengguna.

Home Screen Style – Mengaktifkan talam aplikasi.

Navigation Dock – Butang atas skrin yang boleh diubah kedudukannya. Fungsi ini adalah untuk mereka yang tidak menggemari navigasi atas skrin atau yang berasaskan gesture.

Off-screen nagigation button – Kawalan peranti sepenuhnya menggunakan gesture pada pengimbas cap jari.

Phone Manager – Aplikasi yang membersihkan storan dan menganalisa tahap kesihatan peranti.

Smart Remote – Menggunakan peranti sebagai alat kawalan jauh.

Split Screen – Melancarkan dua aplikasi pada skrin serentak.

Themes – Bosan dengan tema yang disertakan? Pengguna boleh memuat turun pelbagai tema baru yang menggunakan aplikasi ini.

Ultra Snapshot – Menekan butang suara bawah sebanyak dua kali bagi mengambil gambar dengan pantas sebelum aplikasi kamera dibuka.

Kesimpulan

Honor 10 ialah sebuah lagi peranti kelas utama dan adalah alternatif kepada Huawei P20 dengan harga yang lebih mampu milik. Perkara positif pertama mengenai peranti ini ialah penggunaan sistem operasi Android 8.1 yang terkini dan EMUI 8.1 yang agak lancar. Pemproses Hisilicon Kirin 970 yang digunakan juga lebih berkuasa berbanding Hisilicon Kirin 960 yang digunakan pada model sebelumnya.

Keseluruhan peranti diperbuat daripada kaca dan aluminium dengan tubuh yang selesa di dalam genggaman tangan. Walaupun dijual pada harga mampu milik kemasan peranti setanding dengan peranti premium. Sistem kamera dengan kecerdasan buatan dan pelbagai mod mengambil gambar juga amat baik.

Di Malaysia Honor 10 dijual pada harga RM1699 sekaligus menjadikannya peranti dengan harga yang amat kompetitif untuk spesifikasi yang ditawarkan. Nantikan ulasan penuh peranti ini dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN