Bersama-sama penawaran Galaxy J6 untuk pasaran tempatan, Samsung Malaysia juga dilihat telah membawa masuk Samsung Galaxy A6 dan Galaxy A6+ untuk pengguna tempatan.
Kedua-dua telefon pintar ini hadir dengan rekaan skrin Infinity Display, dilengkapi pencahayaan lembut untuk kamera swafoto, dan juga sokongan AR Stickers.
Samsung Galaxy A6 hadir dengan skrin 5.6-inci dengan resolusi 1480×720 pixel Super AMOLED, cip lapan-teras 1.6Ghz, memori 3GB RAM, dan storan 32GB. Ia menyertakan kamera 16-megapixel f/1.7 untuk kamera belakang, dan 16-megapixel f/1.9 untuk swafoto. Peranti ini turut hadir dengan sokongan pengecasan berasaskan mikro-USB untuk bateri 3000mAh, selain sokongan bicu audio 3.5mm.
Samsung Galaxy A6+ pula hadir dengan sokongan skrin sedikit besar, dwi-kamera belakang, dan juga bateri lebih besar.
Samsung Galaxy A6+ hadir dengna skrin 6-inci Super AMOLED pada resolusi 2220×1080 pixel, dijana cip lapan-teras 1.8Ghz, memori 4GB RAM, dan storan 32GB. Ia turut menggunakan dwi-kamera belakang gabungan 16-megapixel dan 5-megapixel, selain kamera hadapan 24-megapixel f/1.9. Melengkapkannya juga adalah bateri berkapasiti 3500mAh.
Kedua-dua peranti ini sudah boleh didapati di pasaran tempatan. Samsung Galaxy A6 berharga RM1099 di Malaysia, sementara Galaxy A6+ pula berharga RM1399 untuk pasaran tempatan.