Carian
Xiaomi Melancarkan Mijia Projektor – Projektor HDR Pada Harga Mampu Milik
May 29, 2018 Fahim Zahar

Mijia adalah sub-jenama Xiaomi dalam menghasilkan produk-produk yang memfokuskan kegunaan dalam rumah. Antara produk menarik yang dilancarkan tahun lepas adalah projektor lazer jarak dekat yang boleh memaparkan saiz kandungan sehingga 150-inci dan kecerahan sehingga 5000 lumens. Terkini, dengan kerjasama bersama mereka melancarkan projektor baru Mijia Projector – projektor HDR termurah setakat ini.

Mijia Projector adalah lebih kepada projektor biasa dengan saiz yang kecil dan juga rekaan yang unik. Ia mampu memaparkan kandungan sebesar 40-inci sehingga 120-inci dan mempunyai kecerahan pada 800 lumens maksima. Projektor ini menggunakan lampu manik daripada OSRAM dan menjanjikan paparan yang cantik dan jelas. Lebih menarik, projektor ini turut menyokong kandungan HDR10.

Selain itu, projektor ini juga mempunyai dua pembesar suara dengan sistem dwi-pasif terbina. Driver pembesar suara ini adalah 2-inci 10W dan turut mempunyai kesan sinematik yang menarik. Lensa pada projektor ini pula mampu melaras fokus kandungan dalam masa 3 saat sebaik sahaja ia dihidupkan. Projektor ini turut mempunyai kandungan tersendiri secara terbina dan juga perisian sistem PatchWall dan turut menyokong kawalan suara.

Harga projektor ini adalah RMB3999 (~RM2481) sahaja dan ia mula dijual melalui laman membeli belah dalam talian di China bermula 1 Jun 2018 nanti. Projektor kali ini dilihat lebih murah berbanding projektor lazer jarak dekat yang dijual pada RMB9999 (~RM6204) – produk Xiaomi termahal setakat ini.

Komen