Carian
ASUS Memperkenalkan ASUS ROG Phone – Peranti Pintar Khusus Untuk Permua Kelas Atasan
June 4, 2018 Nazrin

Kebelakangan ini, terdapat pelbagai pembuat peranti pintar yang hadir dengan produk-produk yang dibina khusus untuk tujuan menggerakkan permainan mudah alih. Xiaomi dan Razer dilihat antara dua jenama yang mempopularkan peranti ini, dan nampaknya ASUS bakal memasukkan nama mereka ke gelanggang tersebut.

Di acara pengumuman mereka sendiri sebelum acara COMPUTEX Taipei 2018 berlangsung, mereka mengumumkan beberapa peranti baru, dan di antaranya ialah telefon pintar ASUS ROG Phone dengan spesifikasi yang cukup menggerunkan ini.

ASUS ROG Phone ini dilengkapi dengan paparan skrin AMOLED IPS bersaiz 6.0 inci dengan resolusi paparan 2160×1080 pixel pada nisbah 18:9. Paparan ini juga mempunyai kadar segar semula 90Hz dan sela-masa serendah 1ms sahaja yang menjanjikan input jari yang sangat cepat dan tepat.

Dari segi cip pemprosesan, ASUS menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 845 yang dipilih sendiri oleh ASUS. Ini adalah kerana setiap cip Snapdragon 845 yang digunakan di dalam ROG Phone ini hadir dengan kadar kelajuan 2.96GHz yang lebih laju daripada kebanyakan pemproses Snapdragon 845 di luar sana dan juga cip grafik Adreno 630, yang dikatakan cip grafik paling berkuasa dari Qualcomm setakat ini.

Ia juga dilengkapi dengan memori LPDDR4 8GB dan juga pilihan storan UFS 2.1 sebesar 128GB ataupun 512GB. Lebih menarik lagi, peranti ROG Phone ini juga masih dilengkapi dengan bicu audio 3.5mm untuk membolehkan anda menggunakan fon kepala sewaktu sesi-sesi gaming anda.

ASUS menyatakan bahawa ROG Phone ini juga akan dilengkapi dengan sistem operasi Android Oreo apabila ia hadir di pasaran kelak dengan antaramuka baru yang dinamakan ROG Gaming UI.

Peranti ASUS ROG Phone ini juga hadir dengan ciri X Mode dimana apabila ia diaktifkan, akan mengosongkan memori dan membuang data yang tidak diperlukan dari storan, disamping mengaktifkan CPU supaya ia sentiasa beroperasi pada tahap maksimum apabila digunakan untuk menggerakkan permua yang memerlukan prestasi CPU dan GPU yang lebih tinggi, dan boleh diakses melalui aplikasi Game Center, dimana pengguna boleh mengawal pelbagai ciri pada peranti ROG Phone ini.

Peranti pintar ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri dan rekaan yang cukup menarik untuk memastikan anda boleh bermain permua kegemaran anda tanpa sebarang masalah.

Ini termasuklah penggunaan dua palam USB-C di bahagian bawah dan sisi peranti tersebut yang hadir dengan tujuan untuk membolehkan peranti ini digunakan dengan pelbagai aksesori-aksesori yang lain dan juga untuk memudahkan peranti ini dicas semasa anda sedang sengit bermain permua kegemaran anda. Post sisi ini membolehkan peranti dipegang pada kedudukan mendatar tanpa kabel pengecas dan audio mengganggu kedudukan tangan. Apabila dipadankan dengan sistem penyejuk Aeroactive, masih terdapat sambungan untuk bicu audio dan USB-C ini.

ASUS juga menggunakan sistem penyejukan GameCool yang menggunakan teknologi penyejukan cecair vapor-chamber yang akan memastikan bahawa peranti anda kekal sejuk sepanjang sesi permainan anda.

Walaupun peranti ROG Phone ini digembarkan sebagai sebuah peranti yang direka khusus untuk tujuan gaming, ia masih dilengkapi dengan dua pasang lensa kamera di bahagian belakang pada resolusi 12MP dan 8MP, manakala di bahagian depan pula dimuatkan dengan kamera beresolusi 8MP. Ia dilihat menggunakan sistem kamera yang sama dengan ASUS Zenfone 5 dan juga hadir dengan teknologi PixelMaster.

Pada bahagian belakang terdapat sebuah pengimbas cap jari berbentuk trapezoid. Rekaan seperti ini tidak pernah dilihat sebelum ini. Pada waktu yang sama logo ROG pada panel belakang peranti ini turut hadir dengan sokongan lampu RGB.

Pihak ASUS menyasarkan suku ketiga tahun 2018 ini untuk pengeluaran peranti ASUS ROG Phone ini di beberapa pasaran, termasuklah Taiwan, China, Asia Tenggara dan juga Jepun sebelum pasaran-pasaran lain.

Buat masa ini, harga untuk peranti ini masih belum diperlihatkan lagi.

Komen