Ketirisan data peribadi pengguna boleh dikatakan semakin membimbangkan. Selepas kita melihat hampir 50 juta data peribadi pengguna tempatan tertiris pada penghujung tahun lepas, kini laporan baru hadir memperlihatkan terdapat beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menjual data pelanggan Astro.
Dikenal pasti oleh Lowyat, ia didapati data peribadi pelanggan Astro ini dijual secara atas-talian pada harga sekitar RM4,500 untuk 10,000 rekod data peribadi.
Penjual berkenaan didapati menawarkan data sebanyak 60,000 pelanggan Astro yang meliputi data seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan beberapa yang lain.
Menurut laporan Lowyat, mereka telah memaklumkan berkenaan hal ini pada awal tahun ini kepada pihak Astro. Sejurus selepas itu, penjual berkenaan dilihat hilang sementara dan kini kembali dalam menawarkan data peribadi pengguna kepada pembeli.
Pihak Astro tidak mengeluarkan sebarang komen rasmi buat masa ini.