Project Valley diumumkan dua tahun yang lalu oleh Samsung bagi menghasilkan peranti dengan skrin yang boleh dilipat. Kedengaran ura-ura prototaip awal “Galaxy X” diperlihatkan kepada beberapa media terpilih ketika acara CES Januari yang lalu. Ini bermakna Samsung semakin hampir untuk menjualnya kepada umum.
Menurut penganalisa dari Korea Selatan, kerana teknologi yang digunakan harga peranti ini mungkin mencecah 2 Juta Won (RM 7250) sebuah apabila dijual kelak. Pada awalnya peranti dengan skrin boleh lipat ini mensasarkan jualan pada tahun 2017 tetapi ini tidak berlaku. Samsung berkata ia hanya akan dipasarkan apabila mereka benar-benar yakin dengan pengalaman penggunaan yang bakal ditawarkan oleh produk kategori baru ini.
Ia kini mungkin dilancarkan pada tahun 2019 dengan skrin OLED 7,3″ yang mengecil ke 4.5″ apabila dilipat. Adakah anda berminat dengan peranti hibrid dengan skrin yang berubah saiz? Sekiranya ya berapakah wang yang sanggup anda belanjakan untuk memilikinya?