Negara paling maju di rantau Asia Tenggara ialah Singapura. Negara kecil ini banyak mempelopori teknologi swapandu seperti teksi swapandu nuTonomy dan lori kontena swapandu di pelabuhan tahun lalu. Terkini teknologi yang sama kini digunakan pula di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi untuk menarik treler kargo yang mengandungi bagasi penumpang.
Sistem swapandu ini dibangunkan oleh Red Dot Robotics yang merupakan syarikat robot tempatan. Kenderaan swapandu bersaiz padat menarik treler yang selama ini memerlukan pemandu manusia untuk membawa bagasi penumpang ke dan dari ruangan kargo pesawat. Sistem ini digunakan kerana masalah kekurangan tenaga kerja di negara pulau ini. Selain menarik treler, sistem swapandu juga digunakan pada kenderaan yang membawa dokumen untuk pos.