Cari @ Amanz

Xiaomi kini mempunyai dua peranti kelas utama iaitu siri MIX dan juga siri Mi. Tahun lepas Xiaomi Mi 6 adalah telefon pintar kelas utama Xiaomi, tahun ini Xiaomi melancarkan Mi 8 – telefon Xiaomi pertama dengan skrin bertakuk. Jadi bagaimanakah prestasi peranti ini di dunia sebenar dan yang mana satu patut anda pilih – Mi 8 atau MIX 2S? Artikel ini adalah pandang pertama saya untuk Xiaomi Mi 8.

Spesifikasi

Xiaomi Mi 8
Skrin 6.21″ Super AMOLED HDR10 (402 PPI)
Pemproses Snapdragon 845 4×2.8 GHz + 4×1.8 GHz
Cip Grafik Adreno 630
RAM 6 Gigabyte
Storan 64/128/256 Gigabyte UFS 2.1
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8 4-paksi OIS+f/2.0,
2x zoom optikal, PDAF Dwi-Pixel
Kamera Depan 20 Megapixel, f/2.0
Bateri 3400 mAh (QuickCharge 4.0+)
Tiada sokongan tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
NFC Ya
Infra Merah Ya (Di Takuk untuk nyahkunci imbasan wajah)
Sistem Imbasan Cap Jari/Wajah
Kalis Air Tiada
Harga Jualan Belum Diumumkan

Skrin 6.21-inci Super AMOLED HDR10 dengan resolusi FHD+. Ini merupakan peranti Xiaomi pertama dengan skrin AMOLED, sebelum ini mereka hanya gunakan skrin OLED pada Mi Note 2. Sedikit mengecewakan bagi pembaca Amanz yang bencikan takuk – Xiaomi Mi 8 adalah antara peranti Android dengan rekaan takuk paling lebar. Walau bagaimanapun, takuk ini bukan sebarang takuk – ia mempunyai fungsi unik iaitu nyahkunci imbasan wajah menggunakan sensor infra-merah.

Walaupun peranti ini menggunakan skrin Super AMOLED, paparan skrin peranti ini tidak cukup terang apabila terdedah di bawah sinaran matahari yang terik. Warna yang terpapar tampak menarik, cantik dan terang. Satu perbezaan ketara yang yang saya sedari ialah warna hitamnya yang lebih gelap berbanding skrin LCD. Mungkin ini adalah masalah perisian yang tidak begitu stabil – video HDR di YouTube kelihatan sedikit pudar seolah tiada langsung teknologi HDR10 pada peranti ini.

Seperti telefon pintar kelas utama 2018, Mi 8 dijana dengan cip Snapdragon 845 yang dilengkapi cip grafik Adreno 630. Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 6GB RAM dan storan sehingga 256GB. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, berita sedih – tiada sokongan kad MikroSD pada peranti ini. Tetapi tidak menjadi masalah dengan pelbagai perkhidmatan storan awan yang boleh digunakan pada peranti ini seperti Xiaomi Mi Cloud atau juga Google Photos.

Kamera utama Mi 8 menggunakan dwi-lensa 12+12 Megapixel , lensa utama dengan f/1.8 1.4µm 4-paksi OIS + pengesanan autofokus berfasa dwi-pixel (PDAF) dan lensa kedua dengan f/2.4 1.0µm + dua kali zoom optikal dwi-pixel PDAF. Sistem kamera yang hampir sama dengan Mi 6 tahun lepas, tetapi kali ini lebih berkuasa dengan sistem kecerdasan buatan terbina seperti yang hadir pada MIX 2S. Kemampuan merakam video pula boleh mencecah sehingga 4K 60FPS.

Kamera swafoto Mi 8 kali ini dilihat agak menarik. Ia menggunakan lensa 20-Megapixel f/2.0 dengan kemampuan rakaman sehingga 1080p. Lebih menarik, Xiaomi turut mengikut jejak langkah Pixel 2 dengan membolehkan gambar diambil dengan kesan bokeh.

Xiaomi Mi 8 menggunakan USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data. Walaupun ia menggunakan USB-C jenis 1.0, ia masih mampu memindah data dengan laju kerana storan dalaman UFS 2.1 dan juga sokongan pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 4.0+. Walau bagaimanapun, di dalam kotak Xiaomi hanya menyediakan pengecas pantas yang sama yang digunakan pada Mi 6 iaitu QC3.0.

Lebih mengecewakan lagi adalah, ketiadaan sokongan pengecasan tanpa wayar yang dilihat hadir pada Mi MIX 2S.

Rekabentuk

Dari segi saiz, Xiaomi Mi 8 adalah hampir sama dengan Mi 6 tetapi dengan penggunaan skrin bertakuk dan bingkai lebih nipis – skrin Mi 8 adalah lebih besar, dagu yang kecil dan lebih memuaskan.

Dwi-kamera disusun menegak seperti iPhone X. Tetapi kamera Mi 8 tidak begitu terjojol keluar.

Tiada sebarang logam atau plastik yang melindungi kamera peranti ini. Oleh itu, jika peranti diletakkan secara rata di permukaan meja – ia mungkin mudah calar. Flash dwi-tona terletak di tengah-tengah antara dua lensa dan pengimbas cap jari pula berada di tengah belakang peranti.

Secara asas, kawalan gesture telah ditetapkan pada peranti ini, Sekali gus memberikan pengalaman penggunaan skrin hampir penuh tanpa gangguan sebarang butang kawalan atas skrin. Jika pengguna tidak gemar akan kawalan gesture ini, Xiaomi memberi pengguna pilihan untuk mengembalikan butang kawalan atas skrin.

Pada sisi kanan terdapat butang suara dan kuasa. Manakala sisi kiri pula adalah slot dwi-sim. Di bahagian atas hanya terdapat mikrofon dan Xiaomi buat pertama kalinya membuang sensor IR Blaster pada siri Mi. Di bahagian bawah pula terdapat port USB-C dan seperti semua peranti kelas utama Xiaomi, tiada bicu audio pada peranti ini juga.

Pada awal penggunaan, agak janggal melihat peranti Xiaomi dengan takuk yang begitu lebar. Ia seakan menggunakan sebuah klon iPhone X. Walau bagaimanapun, selepas beberapa hari menggunakan peranti ini – takuk ini seolah tidak wujud. Seperti Huawei P20 – Xiaomi turut membenarkan pengguna menyorokkan takuk melalui tetapan. Tetapi fungsi ini hanya menjadikan peranti ini kelihatan lebih hodoh.

Pembesar suara Mi 8 hanyalah sebuah pembesar suara mono dan tidak stereo. Apabila mendengar di bilik atau pejabat, pembesar suara ini kelihatan hebat dan mempunyai prestasi yang mengasyikkan. Tetapi apabila berada di luar, pembesar suara ini tidak mampu menghasilkan suara yang kuat walaupun sudah dilaraskan pada tahap maksima.

Xiaomi tidak menyediakan sebarang set fon telinga, tetapi mereka menyediakan satu penyesuai USB-C kepada bicu audio 3.5mm di dalam kotak. Bagi yang sudah berhijrah ke dunia tanpa wayar sepenuhnya, sistem Qualcomm aptX HD dan LDAC disokong menerusi Bluetooth 5.0.

Model yang saya gunakan adalah yang berwarna hitam. Panel belakang peranti ini diperbuat daripada kaca dan menggunakan teknologi yang sama pada Mi 6. Ia mempunyai kesan lengkung 3D di setiap sudut peranti. Sekali gus memberikan keselesaan kepada pengguna. Sisi peranti ini diperbuat daripada aluminium siri 7000 yang kukuh. Sayang sekali, Xiaomi tidak lagi menawarkan pilihan panel belakang siri Mi yang diperbuat daripada seramik.

Seperti biasa apabila tubuh kaca digunakan, masalah permukaan yang mudah kotor akan berlaku. Kemasan yang berkilat ini memerlukan pemilik Mi 8 untuk membeli kerangka tahan lasak bagi mengelakkan berlakunya kerosakan. Sebuah kerangka lutsinar disertakan dengan setiap pembelian tetapi hanya diperbuat daripada plastik.

Sudah pertengahan tahun 2018, Xiaomi masih tidak menyertakan sebarang perlindungan daripada air untuk Mi 8. Sebagai kesimpulan, peranti ini mempunyai saiz yang hampir sama dengan Mi 6 – tetapi lebih banyak skrin.

Antaramuka

Sistem operasi Android 8.1 digunakan dengan antaramuka MIUI. Walaupun MIUI 10 dengan rekaan baru yang seakan Android P telah diperkenalkan bersama-sama dengan Mi 8 sewaktu pelancaran – peranti ini masih lagi menggunakan MIUI 9.5 dengan rekaan lama.

Kerana penggunaan MIUI 9.5 yang sama dengan kebanyakan peranti Xiaomi lain, pengalaman keseleruhan adalah hampir sama. MIUI terkenal dengan pengurusan RAM yang baik, jadi aplikasi dibuka hampir serta merta. Penggunaan pemproses yang berkuasa turut memberikan prestasi yang hebat pada peranti ini. Sungguhpun kelihatan sama dengan peranti MIUI lain, Mi 8 masih mempunyai ciri uniknya sendiri. Antaranya adalah:

Always-On-Display – Mod skrin sentiasa hidup dengan paparan ikon notifikasi serta jam dan tarikh. Ia adalah ciri wajib bagi peranti dengan skrin AMOLED.

Dual Apps – Fungsi menduakan aplikasi. Seperti penggunaan dua aplikasi WhatsApp dengan dua nombor berbeza.

Face Unlock – Sokongan nyahkunci berasaskan wajah yang lebih baik. Lebih-lebih lagi dengan sensor infra-merah pada takuk – ia memberi pengecaman wajah yang lebih baik di suasana yang gelap.

Full Screen Display – Paparan skrin penuh dengan kawalan gesture tanpa butang kawalan atas skrin.

Hide Screen Notch – Fungsi menyembunyikan takuk.

Mi Drop – Fungsi mengongsi fail seperti Air Drop daripada Apple.

Pickup Gesture Wake – Peranti akan hidup apabila diangkat dan jika Face Unlock diaktifkan, peranti akan terus dinyahkunci dengan laju.

Second Space – Mengaktifkan satu ruang kedua untuk peranti. Contoh jika peranti ini diberikan kepada anak kecil – second space boleh digunakan tanpa sebarang gangguan atau akses pada ruang utama.

Xiao Ai – Sistem kecerdasan buatan terbina dalam sistem. Namun dalam MIUI 9.5, fungsi ini hanyalah satu pembantu maya yang hanya terdapat dalam MIUI versi Cina.

MIUI 10

Dalam kemaskini akan datang, Xiaomi Mi 8 akan menjalankan MIUI 10 dengan pelbagai ciri dan unik baru yang diumumkan sewaktu pelancaran. Antaranya adalah sistem operasi yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan. Fungsi ini akan memberi prestasi tambahan dan secara terus menjadikan peranti Mi 8 sebuah peranti yang berkuasa dan pantas. Selain itu adalah Xiaomoji. Iaitu fungsi mencipta watak emoji 3D bergerak seakan Apple Animoji. Dengan sensor infrared pada takuk Mi 8, hasil Xiaomoji secara teori akan lebih baik berbanding peranti lain hanya menggunakan kamera hadapan.

Walau bagaimanapun, MIUI 10 buat masa ini tidak boleh diakses dan hanya diuji secara tertutup.

Sampel Gambar

Menurut DXOMark, kamera Xiaomi Mi 8 adalah lebih baik dari iPhone X dengan skor 99. Sejauh manakah kegemaran markah tinggi yang diberikan ini? Berikut ialah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan mod auto dan mod kecerdasan buatan pada telefon pintar ini. Terpulang kepada pembaca untuk menilai kualitinya sendiri.

Kesimpulan

Xiaomi Mi 8 sekali lagi berjaya menarik minat saya. Walaupun ia memunyai takuk yang menjadikan peranti ini seakan sebuah klon iPhone X – namun prestasi, ciri dan fungsi Mi 8 cukup memuaskan. Di atas kertas peranti ini mempunyai spesifikasi yang setanding dengan peranti-peranti utama yang lain. Pemproses paling berkuasa dipadankan dengan memori yang besar, storan yang mencukupi serta skrin yang besar dengan bingkai nipis.

Saya sudah gunakan peranti ini lebih satu minggu. Setakat ini skrin AMOLEDnya puas hati saya gunakan. HDR yang seakan tidak berfungsi ini mungkin akan dibaiki dalam kemaskini akan datang. Sekuriti imbasan wajah dengan sensor infra-merah pula dilihat masih tidak sempurna. Ini kerana sudah lebih 5 orang cuba halakan Mi 8 ke muka mereka dan mereka berjaya menyahkunci peranti ini.

Sokongan pengecasan pantas QC4.0+ ini adalah antara yang saya gemar. Walaupun ia tidak sepantas pengecasan pantas OnePlus, namun QC4.0+ ini menyokong USB-PD. Ia membenarkan saya mengecas peranti pada kadar laju yang memuaskan.

Ulasan penuh Xiaomi Mi 8 akan hadir jika peranti ini sudah menerima MIUI 10 dan fungsi-fungsi menarik yang Xiaomi kenalkan. Di Cina peranti ini dijual pada harga sekitar RMB2699 (~RM 1672) untuk 64GB, RMB2999 untuk 128GB (~RM1858) dan RMB3299 (~RM2043) untuk 256GB. Ini menjaidkan Xiaomi adalah pembunuh peranti kelas utama baru dan OnePlus telah tewas. Namun begitu harga jualannya di Malaysia masih belum diketahui buat masa ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd