Seperti kami laporkan semalam, mod navigasi motosikal untuk aplikasi Google Maps telah diaktifkan semalam untuk pengguna di Malaysia. Hari ini ia akhirnya dilancarkan secara rasmi oleh Google Malaysia. Menerusi mod ini, penunggang motosikal dapat menggunakan jalan terpantas untuk destinasi lengkap dengan anggaran masa untuk tiba ke lokasi.
Berbeza dengan navigasi menggunakan kenderaan empat roda, mod motosikal akan menyarankan jalan pintas yang hanya boleh dilakukan kenderaan dua roda. Pada waktu yang sama ia tidak lagi menyarankan laluan yang tidak membenarkan kenderaan dua roda seperti Lebuhraya Persekutuan. Untuk menggunakan fungsi ini aplikasi perlu dikemaskini terlebih dahulu ke versi 9.80.2. Fungsi ini boleh diakses pada Google Maps versi Android dan iOS.