Cari @ Amanz

Selalunya apabila ulasan ditulis, konklusi baik atau buruknya sesebuah produk akan saya tulis di penghujung artikel. Tetapi untuk ulasan Lenovo ThinkPad X1 Yoga ini saya ingin melakukan sedikit kelainan. Ia mungkin komputer riba terbaik yang pernah saya ulas sejak memulakan kerjaya sebagai seorang penulis di Amanz. Sebagai penulis sepenuh masa, ia dengan mudah memenuhi kesemua keperluan harian saya. Tiada kompromi dilakukan bagi memastikan kerja dapat dilakukan ketika berada di luar pejabat pada komputer riba ini. Mengapa saya katakan begini? Sila baca ulasan penuh di bawah.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Lenovo ThinkPad X1 Yoga
Skrin 14″ IPS LCD WQHD sesentuh
Pemproses Intel Core i7-8650U vPro
Grafik Intel UHD Graphics 620
RAM 16 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 512B SSD PCIe OPAL 2.0 M.2
Kamera 720P
I/O 2 X Thunderbolt 3 USB-C, 2 X USB-A 3.1.
bicu audio, mini Ethernet
HDMI Ya
Pembaca Kad MikroSD
Imbasan Cap jari (Windows Hello)
SIM Mikro SIM
Bateri 54 Wh
Harga Jualan RM 9948

Skrin 14″ IPS LCD dengan resolusi WQHD penuh digunakan dengan bingkai sisi yang nipis. Skrin yang digunakan mempunyai sokongan sesentuh bagi memudahkan lagi penggunaan sistem operasi Windows 10. Ia juga boleh diputar sebanyak 360 darjah bagi mengubah X1 Yoga berfungsi sebagai sebuah tablet sekiranya diperlukan.

Model yang kami ulas hanya menyokong resolusi WQHD tetapi Lenovo menawarkan juga pilihan skrin HD penuh atau WQHD dengan sokongan HDR Dolby Vision. Keterangan dan ketajaman skrin adalah amat memuaskan tanpa masalah silau yang ketara. Paparan warna hidup dan kerana panel WQHD digunakan, ikon serta teks kelihatan jauh lebih tajam berbanding panel HD penuh 14″ yang pernah kami ulas di makmal Amanz sebelum ini.

Pada waktu yang sama sebuah stylus terbina disertakan dengan setiap pembelian lengkap dengan tempat simpanannya yang tersendiri pada bahagian bawah peranti. Tidak seperti stylus yang digunakan pada siri Microsoft Surface, stylus ThinkPad Pen Pro ini menggunakan teknologi Wacom AMS. Ia masih lagi berbateri tetapi dicas setiap kali ia disimpan semula. Kerana tiadanya keperluan bateri AAA seperti stylus Windows yang lain, tubuhnya lebih kecil dan selesa dipegang ketika digunakan.

Teknologi stylus Wacom cukup terkenal sebagai antara yang terbaik di pasaran. Ia mengesan tekanan serta mempunyai sela masa yang rendah. Sebagai pengguna Galaxy Note 8 yang turut dilengkapi stylus Wacom, kami tidak menyedari sebarang perbezaan prestasi di antara stylus ThinkPad Pen Pro dengan S-Pen yang kami gunakan setiap hari.

Pemproses empat teras Intel Core i7-8650U vPro dipadankan dengan memori sehingga 16GB LPDDR3 dan storan sehingga 1TB SSD PCIe OPAL2.0 M.2. Tiada kad grafik disertakan dan hanya cip grafik Intel UHD Graphics 620 sahaja digunakan. Ini adalah kerana X1 Yoga bukanlah sebuah komputer riba untuk permainan video.

Harus kami sentuh Lenovo hanya memberikan pilihan memori 8 atau 16 GB RAM sahaja untuk kesemua model yang dijual. Tiada slot memori tambahan kerana kesemuanya memori dipateri terus pada papan induk.

Pilihan I/O adalah amat baik dengan bicu audio, dua port Thunderbolt 3 USB-C, dua port USB-A 3.0, slot kad MikroSD, satu HDMI, satu port mini-Ethernet dan slot mikro SIM. Ya terdapat slot SIM yang memberikan sambungan internet selular bagi yang memerlukannya.

Dengan kesemua I/O yang disertakan, pengguna tidak perlu mengangkut penyesuai apabila memiliki X1 Yoga. Kekurangan hanyalah tiada port VGA dan pembaca kad SD. Kedua-duanya tidak disertakan kerana tiadanya ruang yang mencukupi pada tubuh peranti. Pendapat peribadi kami ialah port-port yang disertakan adalah lebih dari memadai untuk kegunaan harian.

Sebuah bateri sebesar 54 Wh Li-ion (4 sel) membekalkan kuasa kepada komputer riba ini. Ia dicas menerusi port USB-C menggunakan pengecas 65W. Pengecas yang disertakan adalah bersaiz kecil dan tidak memakan ruang yang banyak di dalam beg galas.

Kamera web yang digunakan hanya menyokong rakaman 720P dan sebenarnya agak mengecewakan bagi sebuah komputer riba untuk kegunaan golongan profesional. Tetapi satu fungsi menarik yang disertakan ialah sistem penutup kamera ThinkShutter bagi mereka yang risau diintip sekiranya kamera digodam. Dengan wujudnya penutup ini, pengguna tidak perlu meletakkan pelekat pada kamera seperti yang dilakukan oleh Mark Zuckerberg.

Kesemua komponen ini disumbatkan kepada kerangka nipis yang hanya seberat 1.36 kilogram. Kami hampir tidak perasan ia tersimpan kemas di dalam beg galas sepanjang tempoh tiga minggu ia diulas. Pendek kata dari segi spesifikasi tiada kelemahan yang boleh kami temui kecuali pada kamera web yang beresolusi rendah.

Rekabentuk

Rekaan X1 Yoga boleh kami klasifikasikan sebagai klasik. Tiada perubahan mendadak dilakukan berbanding model generasi pertama dan kedua. Jika markah diberikan hanya untuk rupa luaran, ia tidak akan memenangi sebarang anugerah. Terdapat pilihan warna hitam atau perak sahaja. Model warna hitam yang kami ulas mengekalkan tona warna hitam ThinkPad yang digunakan sejak suku abad yang lalu.

Bagi peminat ThinkPad ini ialah warna rasmi yang tidak perlu diubah. Bahan binaan hibrid gentian karbon digunakan bagi memberitakan ketahanan yang melepasi piawaian ketenteraan. Pada waktu yang sama ia turut direka untuk kalis debu dan percikan air.

Harus kami akui ini bukanlah warna yang paling menarik di pasaran. Kemasan permukaan pula pusam berlainan dengan brushed metal atau berkilat seperti yang dilakukan oleh Apple dan HP misalnya.

Tiada kemasan emas dengan sisi chamfered. Tiada logo menyala atau kekisi audio serta ruang udara yang kelihatan seperti komponen pesawat pejuang. Rekaannya yang minimalis ini sesuai dengan status ThinkPad sebagai komputer riba untuk golongan perniagaan di mana kemampuan melakukan tugasan adalah lebih penting dari menarik perhatian pengguna lain.

Engsel yang digunakan pada komputer riba ini membenarkan putaran sehingga 360 darjah. Walaupun kecil ia agak keras sehingga pengguna memerlukan dua tangan untuk membuka penutup. Perkara positif mengenai engsel yang keras ini ialah skrin tidak akan bergegar ketika menaip. Kami beberapa kali melakukan kerja di dalam kereta dan skrin tidak pernah sekalipun bergegar sepanjang perjalanan. Jika anda menaip dengan agresif dan banyak melakukan kerja di dalam kenderaan, skrin yang teguh ini akan memastikan kerja dapat dilakukan tanpa gangguan.

Bercakap mengenai skrin, terdapat satu lampu LED merah yang menyala pada logo ThinkPad di bahagian penutup. Lampu ini akan berkelip-kelip jika komputer tidak menjalani proses shutdown sebelum ditutup. Ini ialah penanda komputer riba sedia untuk digunakan sejurus selepas penutup dibuka.

Dua port Thunderbolt 3 dalam bentuk USB-C dan satu USB-A terletak pada sisi kiri. Pada sisi kanan pula terdapat bicu audio, satu HDMI, satu mini Enthernet, dua USB-A, satu butang kuasa, satu kunci Kensington dan tempat simpanan stylus. Slot untuk mikro SIM dan pembaca kad mikro SD pula terletak pada bahagian belakang. Ia tersorok di belakang sebuah pintu plastik. Kerana kedudukannya yang agak aneh ini, kami hampir tidak menyedari kewujudannya sehinggalah membaca manual. Panel ini juga tidak boleh diakses apabila skrin berada di kedudukan tertentu.

Lohong udara untuk penyejukan komponen dalaman juga terletak di bahagian belakang. Udara panas dihembuskan berjauhan dari pengguna untuk memastikan keselesaan ketika melakukan kerja.

Sepasang pembesar suara  suara terletak pada bahagian bawah. Satu dibahagikan kiri dan satu lagi dibahagikan kanan. Kekisi audio yang digunakan adalah bersaiz kecil dan diperbuat daripada logam.

Empat pelapik getah digunakan pada bahagian bawah untuk mengelakkan calar. Walaupun bersaiz kecil ia mencukupi untuk memastikan komputer tidak mudah melungsur dari permukaan meja.

Secara keseluruhan rupa luaran ThinkPad mungkin tidak secantik pesaing di pasaran serta mengekalkan rekaan klasik. Tetapi ini bersebab bagi mereka yang lebih mementingkan prestasi serta kemampuan tahan lasak berbanding estetik luaran.

Papan Kekunci

Papan kekunci X1 Yoga ialah syurga bagi penulis kerana ianya memudahkan proses menaip dengan pantas. Butang berbentuk senyuman (smile) ini hanya digunakan pada komputer riba Lenovo. Ini adalah berbeza dari jenis chicklet yang digunakan majoriti komputer riba lain di pasaran. Jumlah travel 1.4mm membuatkan jari tidak sakit selepas menaip ribuan patah perkataan setiap hari. Butang kekunci yang lebih besar turut mengurangkan kebarangkalian tertekan butang yang lain semasa menaip.

Terdapat sokongan lampu berwarna putih untuk setiap kekunci. Menaip pada waktu malam menjadi amat mudah kerana keterangan yang memuaskan serta tidak menyilaukan mata. Terdapat tiga tetapan lampu kekunci boleh dipilih iaitu dimatikan, sederhana atau paling terang. Menukar mod ini memerlukan pengguna menekan butang function dan space bar. Ini bukanlah sistem yang paling intuitif kerana pengeluar lain meletakkan butang kawalan lampu ini pada baris F-Key.

Apabila komuter riba ditutup atau di dalam mod tablet, keseluruhan kekunci akan tersimpan rata bagi mengelakkan kerosakan. Satu kekurangan yang kami temui ialah kedudukan butang Control dan Function yang terbalik berbanding yang ditemui pada kekunci standard. Sekali lagi ini ialah konfigurasi standard pada papan kekunci keluaran Lenovo. Bagi yang merasakan ini jengkel, kekunci boleh disusun semula menerusi perisian Keyboard Manager yang disertakan.

Pad Sesentuh Dan Puting Navigasi

Puting navigasi berwarna merah pada papan kekunci ialah sebuah lagi rekaan klasik ThinkPad sejak berdekad lamanya. Ia disertakan pada X1 Yoga tetapi secara peribadi ikhlas kami merasakan canggung menggunakan teknologi yang popular dua dekad yang lalu. Pada sesentuh yang disertakan adalah cukup sempurna untuk tujuan menatal dan melakukan kerja. Jadi puting navigasi yang disertakan ini mungkin dikekalkan untuk pengguna ThinkPad yang sudah biasa menggunakannya.

Pad sesentuh menggunakan Windows Precision Driver dan kesemua gesture Windows 10 disokong. Permukaan pad sesentuh adalah licin memudahkan pergerakan jari. Melakukan zoom atau suntingan yang terperinci tidak menjadi masalah pada pad sesentuh ini. Terdapat tiga lagi butang fizikal di atas pad sesentuh bagi mereka yang lebih menggemari sistem ThinkPad klasik. Butang ini ganti kepada klik kanan. kiri dan tatal apabila puting navigasi digunakan.

Penggunaan

Sebelum mengulas ThinkPad X1 Yoga kami mempunyai banyak persoalan mengapa terdapat ramai yang menggemari komputer riba di dalam keluarga ThinkPad terutamanya dari golongan profesional. Selepas menggunakannya hanya selama sehari kami mula menyedari mengapa ini berlaku.

Papan kekunci yang digunakan adalah yang terbaik pernah kami gunakan sejak mula mengulas komputer riba sekitar empat tahun yang lalu. Ia mengesan tekanan dengan baik dan bersaiz besar. Sebagai insan yang lebih selesa menggunakan kerja pada desktop dengan papan kekunci bersaiz besar, hanya ThinkPad memberikan pengalaman menaip yang setanding. Jari tidak merasa sakit dan setiap tekanan dibaca dengan tepat. Kelajuan menaip pada kekunci “senyum” ThinkPad ini jauh lebih pantas berbanding kekunci chicklet.

Pad sesentuhnya juga cukup jitu dan cukup sensitif untuk melakukan suntingan pada perisian seperti Photoshop. Dengan sokongan Windows Precision Driver, menukar antara aplikasi dapat dilakukan dengan amat  mudah.

Bersebelahan pad sesentuh ialah sebuah pengimbas cap jari dengan sokongan sistem keselamatan FIDO. Ini ialah satu-satunya pilihan sistem biometri yang ditawarkan sekiranya pengguna tidak memilih model dengan sistem imbasan wajah. Tetapi kami menyedari sistem imbasan cap jari X1 Yoga adalah perlahan. Hampir dua saat diperlukan untuk menyahkunci. Ia juga kerap gagal membaca cap jari tanpa sebab yang munasabah. Tidak melampau untuk mengatakan sistem imbasan yang digunakan adalah lebih perlahan berbanding majoriti telefon pintar kelas permulaan di pasaran.

Pemproses berkuasa tinggi yang dipadankan dengan saiz RAM yang besar dan storan SSD yang pantas membuatkan penggunaan X1 Yoga terasa amat lancar. Tiada sela masa atau masalah yang alami sepanjang tempoh ulasan. Ini adalah sesuatu yang jarang berlaku kerana sekali lagi kami tegaskan kami lebih gemar melakukan kerja pada sebuah desktop. Tetapi kerana penggunaan X1 Yoga yang amatlah selesa, ia menyebabkan desktop di pejabat tidak dihidupkan selama seminggu. Ini ialah komputer riba pertama yang kami percaya dapat menggantikan desktop dalam penggunaan harian. Pendek kata ini ialah komputer riba terbaik yang pernah kami ulas setakat ini,

Penanda Aras

Pemproses Intel Core i7-8650U hadir dengan teknologi vPro untuk kegunaan industri. Bagi pengguna biasa fungsi ini mungkin tidak diperlukan. Dalam beberapa ujian penanda aras yang dilakukan, pemproses ini mencatatkan markah yang amat tinggi. Jadi tidak mengejutkan langsung kesemua tugasan yang perlu dilakukan pada X1 Yoga dapat dilakukan tanpa sebarang masalah.

Proses boot up mengambil masa sekitar tujuh saat. Melancarkan aplikasi dapat dilakukan hampir sekelip mata kerana penggunaan SSD yang pantas serta RAM yang besar pada model yang diulas. Ujian SSD yang dilakukan menunjukkan kadar membaca mencecah 3.1 Gbps dan menulis pula hampir 500 Mbps. X1 Yoga memecahkan rekod yang dipegang oleh HP Spectre 13 yang diulas pada bulan Mei lalu.

Berikut ialah beberapa ujian penanda aras yang kami lakukan. Dari markah yang dicatatkan, X1 Yoga ialah komputer riba yang sesuai digunakan untuk tugasan harian tetapi tidak mengejutkan bukanlah untuk permainan video.

Audio

Sepasang pembesar suara stereo diletakkan pada bahagian bawah. Dari segi kelantangan, dua pembesar suara ini menghasilkan bunyi yang kuat tetapi kurang jelas pada tetapan tinggi. Kualiti treble adalah baik tetapi bass adalah rata walaupun terdapat sokongan Dolby Audio, . Dentuman bom tidak memuaskan dalam beberapa ujian yang dilakukan. Kerana kedudukannya di bahagian bawah, kerap kali kekisi audio terhalang dan merendahkan kali kelantangan audio.

Kualiti audio menerusi bicu audio adalah lebih baik. Kelemahan nampaknya terletak pada pembesar suara yang digunakan. Jika anda mempunyai sepasang fon telinga berkualiti tinggi, kami sarankan ia digunakan sepanjang masa kerana pembesar suara terbina adalah mengecewakan.

Bateri

Bateri 54 Wh yang diiklankan dengan kemampuan bertahan sehingga 15 jam. Sepanjang tempoh ulasan kami hanya mampu mempunyai purata penggunaan sekitar 8 jam. Ini adalah pada tetapan mod penjimatan kuasa dan skrin pada tetapan 50% sahaja. Ini adalah hayat penggunaan yang kami rasakan memuaskan bagi sebuah komputer riba Windows.

Apabila kehabisan bateri, pengecasan dilakukan menggunakan pengecas 65w menerusi port USB-C. Bateri boleh dicas sehingga 80% dalam masa sekitar sejam tetapi memerlukan sekitar dua jam untuk pengecasan penuh.

Kesimpulan

Lenovo ThinkPad X1 Yoga membuktikan bahawa rupa luaran tidak bukan kayu ukuran yang tepat baik dan buruknya sesebuah produk. Sebelum mengulas komputer riba ini kami tidak faham mengapa ThinkPad dengan rekaan yang agak ketinggalan zaman serta kurang menarik jika dibandingkan dengan komputer riba lain mempunyai ramai peminat setia. Persoalan ini terjawab dalam masa  hanya sehari.

Papan kekunci serta pad sesentuh yang disertakan adalah yang terbaik pernah kami gunakan. Menaip ribuan patah perkataan adalah amat selesa dan pantas kerana kekunci yang besar serta mempunyai jarak travel yang tinggi. Ia hampir setanding dengan papan kekunci desktop yang kami gunakan di pejabat. Malahan seperti kami katakan beberapa perenggan di atas, ia menggantikan desktop pejabat selama seminggu ketika tempoh ulasan.

Pada sesentuh amat responsif dan mempunyai kejituan yang tinggi. Tiada masalah melakukan suntingan gambar pada pad sesentuh ini kerana ia mempunyai permukaan yang licin. Sistem puting navigasi yang disertakan kurang kami gemari tetapi kami faham dikekalkan untuk peminat tegar ThinkPad.

Kesemua ini dipadankan dengan pemproses. RAM dan storan yang pantas. Sistem penyejukan yang digunakan berfungsi dengan baik kerana komputer tidak menjadi panas walaupun digunakan untuk tempoh yang lama di atas paha. Deruman kipas penyejuk juga tidak terlalu kuat sehingga mengganggu konsentrasi bekerja. Kombinasi mantap ini membuatkan kami tidak menemui sebarang kelemahan yang boleh menjadi peluru untuk membedil harga jualan ThinkPad X1 Yoga yang kurang mampu milik.

Model paling asas dijual harga RM 6910 manakala model dengan spesifikasi tertinggi  pula mencecah RM 11,000. Ini menjadikannya antara komputer riba yang bukan untuk permainan video termahal di pasaran. Tetapi hakikatnya ialah jika anda mahukan sebuah komputer riba untuk kegunaan profesional dengan kemampuan memproses, papan kekunci, pad sesentuh dan tahan lasak terbaik di dalam kelasnya, harga yang premium harus dibayar.

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi yang tinggi memastikan ia dapat melakukan kesemua tugasan pejabat tanpa sebarang masalah.
  • Skrin sesentuh terang dan tajam. Berputar 360 darjah untuk mod tablet.
  • Papan kekunci yang selesa digunakan untuk menaip dengan pantas. Terbaik yang pernah kami gunakan.
  • Hayat penggunaan bateri yang baik.
  • Pad sesentuh amat responsif. Juga terbaik yang pernah kami gunakan.
  • Berfungsi dengan sejuk dan senyap.
  • Padat dan ringan hanya seberat 1.4 kg. Tiada beban mengangkut di dalam beg sepanjang hari.
  • Pilihan I/O yang mencukupi. Tidak perlu membawa penyesuai tambahan.
  • Rekaan tahan lasak melepasi piawaian ketenteraan. Kalis sejuk, panas, debu dan air. Sesuai bagi mereka yang berjari mentega.
KONTRA dan Kekurangan
  • Rekaan “klasik” yang kurang menarik jika diletakkan bersebelahan komputer riba moden. Tiada kemasan aluminium yang “seksi”
  • Bahagian penutup yang sedikit keras untuk dibuka.
  • Pengimbas cap jari yang amat perlahan.
  • Pembesar suara yang tidak memuaskan. Kualiti audio yang rata dan mudah tertutup kerana terletak pada bahagian bawah.
  • RAM yang dipateri. Tiada pilihan untuk menambah RAM pasca pembelian.
  • Kamera web hanya sekadar beresolusi 720P.
  • Harga jualan yang amat tidak mampu milik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd