Carian
Pandang Pertama BlackBerry Key2 – Peranti Untuk Penggemar Papan Kekunci Fizikal
July 10, 2018 Effi Saharudin

 Kami yakin ramai di kalangan anda membaca artikel ini menerusi sebuah peranti pintar. Alamat laman dimasukkan ke dalam pelayar menggunakan papan kekunci atas skrin. Hanya sedekad yang lalu proses yang sama dilakukan menggunakan telefon pintar yang menggunakan papan kekunci fizikal. Di dalam kategori ini, peranti BlackBerry adalah yang paling popular terutamanya di kalangan pengguna perniagaan.

Walaupun dunia sudah berubah, BlackBerry masih lagi menghasilkan peranti dengan papan kekunci fizikal. Ini adalah kerana masih wujud permintaan untuknya dan pengguna perniagaan menyedari menaip menggunakan kekunci fizikal masih lagi lebih pantas. BlackBerry Key2 dilancarkan secara rasmi pada bulan Jun yang lalu dan hari ini ia akhirnya tiba ke pasaran Malaysia. Ini ialah pandang pertama kami untuk BlackBerry Key2.

Spesifikasi

BlackBerry Key2
Skrin 4.5″ IPS LCD 1080×1620 (434 PPI)
Cip Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x 2.2 GHz Kryo 260
4 x 1.8 GHz Kryo 260
Cip Grafik Adreno 512
RAM 6 Gigabyte
Storan 64 GB
(MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.6, PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel, f/2.0
Bateri 3500 mAh (QuickCharge 3)
Tiada sokongan tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Cap Jari
Kalis Air Tiada
Harga Jualan RM 2599

Kerana keperluan meletakkan sebuah papan kekunci fizikal, Key2 hanya dilengkapi sebuah skrin IPS LCD bersaiz 4.5 inci dengan resolusi 1080×1620 pixel. Ini meletakkannya sebagai antara peranti pintar dengan saiz skrin terkecil di pasaran. Skrin ini masih lagi menyokong sentuhan tetapi tanpa sokongan HDR seperti peranti-peranti utama di pasaran. Ketiadaannya mungkin tidak akan disedari kerana peranti ini tidak dihasilkan untuk penggemar audio visual tegar. Tiada perubahan dilakukan pada skrin berbanding KeyOne

Skrin yang digunakan adalah terang dan tajam. Di dalam situasi gelap kami tiada masalah melihat apa yang dipaparkan pada skrin. Malang sekali kami tidak dibenarkan membawa peranti keluar ketika majlis pelancaran untuk melihat prestasi di bawah cahaya matahari yang terik.

Perubahan dilakukan pada cip pemproses yang dipertingkatkan ke Snapdragon 660 dan memori sebesar 6GB RAM. Tahun lalu KeyOne menggunakan pemproses Snapdragon 625 dan hanya 4GB RAM. Di Malaysia hanya model dengan storan 64GB dan warna hitam ditawarkan. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, Key2 menyokong kad mikroSD sehingga 256GB. Apabila digunakan, ia akan mengambil salah satu slot SIM nano yang disertakan.

Sebuah lagi penambahbaikan dilakukan dengan penggunaan sistem dwi-kamera. Dua sensor 12+12 Megapixel f/1.8+f.2,6 digunakan. Ini memberikan kemampuan melakukan zoom optikal sehingga 2X dan mengambil gambar dengan kesan bokeh. Kedua-dua lensa ini dilengkapi sistem pemfokusan Dual Pixel yang pantas. Bagi yang ingin merakan video, kamera Key2 boleh merakan pada tetapan maksimum 4K 30FPS. Terdapat juga tetapan 1080P 60FPS bagi mereka yang masih belum bersedia melompat ke resolusi UHD.

Kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Ini adalah lebih baik berbanding sensor 8-Megapixel f/2.2 tahun lalu. Apabila menggunakan kamera hadapan, resolusi rakaman video dihadkan ke hanya 108oP sahaja.

Bateri sebesar 3500 mAh digunakan dan menurut BlackBerry Key2 mampu beroperasi sehingga dua hari dengan sekali caj. Saiz bateri yang sama ini dikekalkan walaupun peranti kini hampir 1mm lebih nipis berbanding model terdahulu. Apabila kehabisan bateri, ia menyokong format pengecasan pantas QuickCharge 3.0 menerusi port USB-C. Tiada sokongan pengecasan tanpa wayar disertakan buat masa ini.

Sokongan lain yang disertakan ialah Bluetooth 5.0 dan NFC. Tiada kemampuan kalis air dan ini sedikit mengecewakan bagi sebuah peranti yang dipasarkan untuk golongan profesional.

Rekabentuk

BlackBerry Key2 ialah peranti yang cukup selesa di dalam genggaman tangan walaupun mempunyai sisi yang rata. Trend peranti semasa ialah sisi yang dibulatkan dan pengguna skrin 2.5D. Hanya skrin 2.5D ini digunakan bersama dengan kaca Gorilla bagi memastikan ketahanan dari hentakan.

Keseluruhan rangka diperbuat daripada aluminium. Kemasan pada rangka adalah pusam jadi ia tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Panel belakang pula diperbuat daripada plastik dengan kemasan tekstur getah. Permukaan getah ini membuatkan peranti tidak mudah tergelincir dari genggaman.

Mari bercakap tentang papan kekunci yang disertakan. Terdapat 35 kekunci kesemuanya. Ia menyokong sentuhan dan laman web boleh ditatal dengan dengan melakukan jari pada permukaan kekunci. Dari segi saiz, butang pada Key2 adalah 20% lebih besar berbanding pada KeyOne bagi memudahkan proses menaip.

Kali ini butang baru Speed Key  turut diperkenalkan. Ia adalah kunci pintasan yang membolehkan aplikasi dilancarkan dengan menekannya serentak dengan sebuah lagi kekunci fizikal. Sebagai contoh YouTube boleh dilancarkan dengan menekan butang Speed Key dan Y misalnya. Kesemua pintasan menggunakan Speed Key boleh dikustomasikan sendiri oleh pemilik.

Kami tidak pernah menggunakan sebuah peranti BlackBerry dan oleh sebab itu kami merasakan proses menaip menjadi lebih perlahan pada papan kekunci fizikal ini. Jelas sekali Key2 tidak menyasarkan insan seperti kami. Tetapi dari apa yang kami dengari dari pengguna tegar BlackBerry, papan kekunci Key2 adalah lebih selesa digunakan.

Pada butang space bar, sebuah pengimbas cap jari disertakan secara terbina. Ini ialah fungsi yang perlu bagi sebuah peranti mensasarkan golong profesional. Pengimbas cap jari ini juga perlu untuk menggunakan sistem Private Locker yang akan kami bincangkan pada bahagian perisian kelak.

Satu perkara yang tidak disertakan ialah sistem nyahkunci berasaskan wajah. Tidak diketahui mengapa fungsi yang semakin menjadi standard ini tidak disertakan. Kami hanya boleh melakukan spekulasi ini adalah kerana sistem imbasan wajah dua dimensi adalah kurang selamat berbanding sistem imbasan cap jari.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa, suara dan Covenience. Ketiga-tiganya diperbuat daripada logam dan terpasang kukuh. Bagi membezakan butang-butang yang banyak pada sisi ini, butang kuasa mempunyai tekstur yang lebih kasar. Butang Convenience membolehkan pelbagai aksi diprogramkan oleh pengguna seperti membisukan peranti misalnya.

Pada sisi kiri pula hanya terdapat talam untuk dwi-SIM nano dan kad mikroSD. Talam dari jenis hibrid ini perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Apabila dwi-SIM nano digunakan, peranti menyokong rangkaian 4G untuk kedua-duanya.

Sebuah bicu audio terletak pada bahagian atas peranti. BlackBerry masih merasakan penggunaan alat audio berwayar perlu disokong walaupun peranti ini menyokong Bluetooth 5.0. Bergerak ke bawah, sebuah port pengecasan USB-C dihimpit dengan satu pembesar suara mono. Seperti KeyOne, Key2 masih tidak mempunyai pembesar suara stereo walaupun mempunyai dua kekisi audio pada bahagian bawah. Ini membuatkan menonton video pada Key2 kurang menarik. Kelantangan pembesar suara ini sedikit sebanyak mengurangkan kekecewaan kami.

Antaramuka

Sistem operasi Android 8.1 digunakan dengan pelancar yang kelihatan seperti Android Asli. Boleh kami katakan 99% antaramuka dan ikon yang digunakan adalah Android Asli. Hanya beberapa perubahan dilakukan bagi memberikannya keunikan berbanding peranti-peranti lain di pasaran. Pada bahagian bawah skrin terdapat tiga butang navigasi home, back dan multi-tugas. Ketiga-tiga butang ini tidak boleh disusun semula seperti pada kebanyakan peranti Android lain di pasaran.

Satu perubahan yang dilakukan ialah pada skrin multi-tugas. Aplikasi yang dilancarkan disusun seperti jubin pada skrin ini. Ia berbeza sekali dengan susunan bertingkat pada pelancar standard. Ini dilakukan bagi menunjukkan lebih banyak aplikasi yang telah dilancarkan kepada pengguna. Tetapi sebagai pengguna tegar Android, perubahan yang mendadak ini terasa sedikit canggung. Ia mengingatkan kami dengan skrin multi-tugas yang digunakan oleh pelancar Sense Launcher peranti HTC suatu ketika dahulu cuma lebih berserabut.

Kerana penggunaan pelancar yang hampir kepada Android Asli, kesemua proses melancar dan menukar aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Pemproses Snapdragon 660 mungkin diklasifikasikan sebagai “kelas pertengahan” tetapi realitinya pemproses ini cukup berkuasa untuk majoriti tugasan yang dilakukan seharian. Memori sebesar 6GB yang digunakan memastikan lagi kelancaran dan membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan tanpa perlu menjalani proses segar semula.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada BlackBerrry Key2.

Blackberry Hub – Hab satu henti untuk emel, mesej, kalendar, media sosial dan kenalan. Ia seperti Edge Panel pada peranti Galaxy. Tab ini akan sentiasa terpapar pada sisi skrin dan ditarik keluar apabila diperlukan.

Blackberry Privacy Shade – Tingkap kecil yang menghalang sebahagian besar skrin dari dilihat. Sesuai digunakan ketika membaca emel peribadi yang dipenuhi rahsia syarikat.

BlackBerry Redactor – Memadam maklumat peribadi dari rakaman skrin yang diambil.

Convenience Key – Butang pintasan pantas untuk tiga aplikasi pilihan mengikut situasi tertentu. Ketika mesyuarat misalnya ia boleh diprogramkan untuk memaparkan aplikasi mengambil nota. Ketika memandu aplikasi navigasi pula akan dipaparkan.

DTEK by BlackBerry – Aplikasi yang memantau kesihatan dan sekuriti peranti. Pengguna boleh melihat aktiviti meragukan oleh aplikasi yang dipasang pada peranti.

Private Locker – Bagi yang mementingkan privasi Private Locker akan mengunci aplikasi dari diakses. Malahan aplikasi tertentu boleh disorokkan di dalam Locker. Gambar yang diambil juga boleh disimpan di dalam Locker dan dihalang dari disimpan ke storan awanan.

Speed Key – Melancarkan aplikasi pilihan menggunakan kombinasi Speed Key dan mana-mana butang kekunci fizikal. Memudahkan proses multi-tugas.

Kesimpulan

Peranti dengan papan kekunci mungkin kurang popular tetapi jelas sekali masih terdapat permintaan untuknya di pasaran semasa. Terdapat banyak perkara positif yang boleh kami katakan mengenai peranti ini. Pertama sekali ialah kualiti binaan dan kemasan baik. Semakin banyak peranti kini menggunakan skrin bertakuk, tubuh kaca dan skrin gergasi. Kesemua ini bagus di atas kertas tetapi kurang praktikal apabila di dunia sebenar. Skrin bertakuk menerima banyak kritikan dari pembaca Amanz. Tubuh kaca memerangkap kotoran dengan mudah, licin dan apabila jatuh berkemungkinan pecah berderai. Skrin gergasi pula sukar diakses dengan sebelah tangan. Kesemua masalah di atas tidak akan berlaku pada pengguna BlackBerry Key2

Saiz peranti membuatkannya selesa di dalam genggaman. Panel bergetah di belakang membuatkannya melekap pada tangan. Kemasan pusam tidak memerangkap kotoran seperti Magneto memerangkap besi.

Pemproses kelas pertengahan yang digunakan mungkin mengecewakan tetapi realitinya ini peranti yang mensasarkan golongan profesional yang tidak memerlukan kuasa lebih untuk memproses video 4K atau menggunakan permua bergrafik tinggi. Pemproses Snapdragon 660 adalah lebih dari memadai dan apabila dipadankan dengan memori sebesar 6GB RAM memastikan kelancaran penggunaan peranti.

Kami kurang menggemari papan kekunci yang digunakan. Ia masih lagi plastik dan sedikit retro. Penafian sekali lagi bahawa kami tidak pernah meminati atau menggunakan papan kekunci fizikal. Jadi menaip menggunakan Key2 terasa canggung. Tetapi maklum balas dari beberapa pengguna tegar BlackBerry mengatakan papan kekunci ini lebih selesa digunakan jadi kami mempercayai apa yang mereka katakan.

Kamera dengan zoom optikal akhirnya disertakan yang mampu merakam imej bokeh. Dari beberapa contoh gambar yang diambil kualiti gambar adalah memuaskan bagi sebuah peranti kelas pertengahan.

Di Malaysia BlackBerry Key2 akan mula dijual pada 12 Julai hadapan pada harga RM2599 sebuah. Hanya model berwarna hitam dengan storan 64GB akan dipasarkan. Berbaloi ataupun tidak hanya akan diketahui selepas ulasan penuh dilakukan. Tetapi dari penggunaan sementara pasca pelancaran terdapat banyak positif dari negatif yang dapat kami katakan mengenainya. Nantikan ulasan Key2 di Amanz dalam masa terdekat.

Komen